Empat mangsa rugi RM670,000 ditipu lelaki menyamar pengawal peribadi sulit kerabat

Empat mangsa rugi RM670,000 ditipu lelaki menyamar pengawal peribadi sulit kerabat

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kegiatan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi memperdayakan orang awam dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk mengaut keuntungan peribadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berkaitan kes berkenaan membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM670,000.

Menurut beliau, kes itu melibatkan empat mangsa dengan laporan dibuat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga menerima laporan daripada pegawai khas istana pada 15 Oktober lalu.

“Mangsa pertama mengalami kerugian RM30,000 diikuti mangsa kedua RM155,000, mangsa ketiga RM452,000, manakala seorang lagi mangsa mengalami kerugian RM33,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan menyerahkan isu individu menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor dengan memperdaya orang ramai kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Kata kenyataan itu, Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.

Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan. –
UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini