SHAH ALAM: Muamalat Bullets menebus kekalahan kepada MBSA Blue Pelican pada peringkat liga dengan menewaskan lawan sama 17-6 pada aksi final Corporate Super Rugby Championship (CSR) 2026, sekali gus merangkul kejuaraan ketiga dalam tempoh empat musim.
Lebih manis, Bullets berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Blue Pelican di peringkat liga, selain membuktikan keupayaan mereka untuk bangkit pada saat paling penting bagi memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka.
Pemain forward, Muhammad Danial Hamidi menjadi watak penting kemenangan Bullets apabila mencetak try tunggal pasukannya sebelum dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan.

Dua sepakan penalti masing-masing daripada Mohamad Faris Pead dan Muhammad Nafis Salleh melengkapkan kutipan 17 mata Bullets, sekali gus membantu mereka mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu membolehkan Bullets membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Blue Pelican terpaksa berpuas hati dengan RM8,000 selaku naib juara.
Biarpun gagal menamatkan kempen dengan gelaran juara, Blue Pelican tetap boleh berbangga dengan pencapaian pada musim sulung mereka selepas melangkah ke final dengan rekod tanpa kalah sepanjang peringkat liga.
Mohammad Nazreen Fitri menyumbang keseluruhan enam mata buat Blue Pelican dalam aksi final itu, selain dinobatkan sebagai Penjaring Mata Terbanyak kejohanan.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga, ATM Vanguard menutup kempen dengan bergaya apabila membelasah Ragbi PDRM 40-10 untuk membawa pulang pingat gangsa.
Bagi anugerah individu, Muamalat Bullets turut menguasai kategori pemain apabila Amierul Harith Heriezal dipilih sebagai Pemain Forward Terbaik, manakala Mohamad Faris Pead meraih anugerah Pemain Backline Terbaik.
Luqman Nur Hakim dari MBSA Blue Pelican pula dinobatkan sebagai Penjaring Try Terbanyak, manakala Muhammad Danial Hamidi melengkapkan kejayaan peribadinya dengan anugerah MVP perlawanan akhir.-UTUSAN











