WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, mengakui wujud pelbagai kesilapan dan kegagalan dalam mengendalikan perang dengan Iran, ketika ditanya mengenai peningkatan angka korban serta krisis ekonomi akibat konflik berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam satu sesi town hall terbitan CBS News, lapor agensi berita Anadolu.
Kenyataan Vance itu dibuat bagi membalas soalan Joey Amor, suami kepada Sarjan Utama Nicole Amor, seorang daripada enam anggota Simpanan Tentera AS yang terkorban dalam serangan dron Iran ke atas pangkalan tentera di Kuwait pada awal perang lewat Februari lalu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 21 anggota tentera AS dilaporkan terkorban manakala ratusan lagi mengalami kecederaan.
Amor mempertikaikan kawalan keselamatan di fasiliti berkenaan yang didakwa longgar, sekali gus menuntut pentadbiran Trump bertanggungjawab atas tragedi itu.
“Walaupun dron Iran merupakan senjata yang membunuh isteri saya, terdapat banyak kesilapan dan kegagalan dasar yang membawa kepada kejadian tersebut,” kata Amor.
Menjawab perkara itu, Vance mengakui wujud kelemahan di pihak pentadbiran.
“Kadangkala maklumat tidak sampai kepada saya,” katanya sambil berjanji akan menyiasat dan mengambil iktibar daripada setiap kegagalan yang berlaku.
Naib Presiden AS itu turut mengesahkan strategi penempatan tentera AS sebelum ini mendedahkan kelemahan ketenteraan mereka.
“Saya tahu ada isu membabitkan lokasi penempatan tentera. Kami menyedari ia satu kesilapan besar dan sedar hal itu sepatutnya boleh dikendalikan dengan lebih baik. Langkah pembetulan telah pun diambil,” katanya.
Beliau menambah, ancaman dron kos murah yang semakin meningkat memaksa tentera AS mengubah taktik operasi bagi memperketat perlindungan anggota sekali gus mengelakkan korban berulang.
Mengulas mengenai kegagalan Washington mencapai kemenangan mutlak seperti yang ditagih Presiden Donald Trump pada peringkat awal, Vance mendakwa AS sebenarnya sudah mencapai kemenangan dari beberapa sudut, namun keputusan akhir bergantung kepada tindakan Iran.
“Musuh juga ada percaturannya sendiri,” kata Vance sambil mempertahankan strategi pentadbiran AS.
Beliau menegaskan, fokus utama Washington kini adalah untuk mendesak Iran memberikan komitmen mutlak bahawa mereka tidak akan membina semula program nuklear negara itu.- AGENSI











