KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 tetamu menghadiri majlis resepsi pasangan pengantin baharu, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berlangsung meriah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam Ahad.
Majlis itu turut dihadiri beberapa kenamaan, termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.
Tampil sedondon dalam busana pengantin rona mewah, pasangan itu melangkah masuk ke dewan diiringi lagu Bagaikan Sakti, nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir, sebagai simbol penyatuan cinta mereka.
Perarakan masuk pengantin terlebih dahulu dimulakan dengan kehadiran dua anak Bella, Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Antara momen menyentuh perasaan pada malam itu ialah ucapan ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, yang berkongsi kenangan anaknya ketika kecil.

Beliau berkata, Syed Saddiq pernah meluahkan rasa sedih kerana tidak mempunyai sesiapa untuk mencium tangannya pada setiap kali sambutan Aidilfitri, memandangkan dia anak bongsu dalam keluarga.
“Namun, kali ini, Alhamdulillah, tiga orang dalam hidupnya akan bersama-sama mencium tangannya, iaitu isteri tersayang dan dua anaknya,” katanya.
Suasana majlis turut diserikan dengan ucapan daripada kedua-dua anak Bella yang menyentuh hati tetamu.
Ayden, menerusi ucapannya, mengakui kehadiran Syed Saddiq membawa perubahan positif dalam kehidupan ibunya.
“Daddy, sebelum awak hadir, saya selalu melihat kesedihan di mata ibu. Walaupun saya tidak faham ketika itu kerana masih kecil.
“Selepas kehadiran Daddy, saya lihat ibu gembira kembali. Terima kasih kerana memilih ibu. Terima kasih kerana menyayangi kami,” katanya.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa.
Selain Siti, persembahan turut disampaikan Jaclyn Victor, adik Bella, Didie Astillah, serta kumpulan Nidji. Kesemua persembahan diiringi orkestra di bawah pimpinan Datuk Mokhzani Ismail.
Bella turut menghiburkan tetamu menerusi persembahan khas pada malam berkenaan.
Antara rakan artis yang hadir termasuk Siti Nurhaliza bersama suami, Nur Fazura, Fasha Sandha dan Aidil Aziz, Shuib bersama isteri serta Mira Filzah bersama suami.
Untuk rekod, Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, dan Syed Saddiq, 33, selamat bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu.
Pasangan itu sebelum ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pada September 2016. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, Bella dikurniakan dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.











