WASHINGTON: Sebuah syarikat pengiklanan Israel didakwa menyalurkan perisian pengintip ke jutaan telefon di seluruh dunia tanpa pengetahuan pengguna, menurut penyelidik dari Universiti Toronto.
Discover-Tech, sebuah agensi pengiklanan Israel didakwa menggunakan perisian dikenali sebagai Controlium yang membolehkannya menjangkiti peranti mudah alih dengan perisian pengintip tanpa klik, bermakna pengguna tidak perlu berinteraksi dengan iklan berkenaan untuk peranti mereka digodam.
Citizen Lab, makmal penyelidikan penyiasatan digital di Universiti Toronto berkata, Controlium membolehkan syarikat Israel itu memprofilkan pengguna internet secara besar-besaran, mendedahkan identiti mereka yang sebelum ini tidak diketahui serta mendapatkan data mereka, termasuk identiti dan alamat Protokol Internet (IP), tanpa pengetahuan pengguna.
“Ini merupakan pengesahan terbuka pertama mengenai penggunaan iklan bersasar untuk menyebarkan perisian pengintip upahan tanpa memerlukan sebarang interaksi daripada pengguna,” menurut laporan Citizen Lab.
Iklan berkenaan menyamar sebagai kandungan pengiklanan biasa yang diperibadikan berdasarkan aktiviti pengguna di internet. Menurut penyelidik, syarikat perisian pengintip pihak ketiga menggunakan platform perisian Discover-Tech selama bertahun-tahun.
“Amat membimbangkan apabila penyedia pengiklanan utama dan organisasi berkaitan nampaknya gagal mengesan atau menghalang operasi pengiklanan berniat jahat syarikat itu selama bertahun-tahun.
“Ekosistem pengiklanan dalam talian yang beroperasi hari ini merupakan ancaman keselamatan kepada negara, sektor swasta, masyarakat sivil dan semua pihak lain,” kata penyelidik Citizen Lab, Wolfie Christl.
Citizen Lab berkata, pihaknya percaya sebanyak 45 peranti milik wartawan dan kakitangan Al Jazeera menjadi sasaran, manakala sebahagiannya dijangkiti perisian pengintip yang disebarkan menggunakan platform Discover-Tech.
Pasukan penyelidik itu berkata, iklan berniat jahat berkenaan dibeli oleh Discover-Tech. Mereka menganalisis empat bilion rekod bidaan pengiklanan Discover-Tech dan mendapati iklan syarikat itu muncul di hampir 200,000 laman web unik, melibatkan peranti Android dan iOS di puluhan negara.
Citizen Lab menyerahkan hasil penemuannya kepada penyedia pengiklanan dan organisasi industri berkaitan.
Berikutan penemuan itu, beberapa syarikat, termasuk Google, IAB Europe, Beeswax, Vungle dan Eskimi, mengambil tindakan menyekat akses Discover-Tech kepada perkhidmatan pengiklanan mereka.-AGENSI











