ADEN: Konflik Yemen dijangka memasuki fasa baharu susulan kerjasama Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kembali berganding tenaga untuk mengekang kemaraan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Kerjasama itu menyaksikan UAE bersetuju menyambung semula pembayaran kepada sebahagian pasukan kerajaan Yemen yang memerangi Houthi di selatan negara itu, manakala Arab Saudi pula bersetuju menyediakan perlindungan udara kepada pasukan ant-Houthi, menurut sumber di Yemen.
Perjanjian kerjasama baharu itu menjadi petunjuk konkrit pertama keretakan hubungan antara UAE dengan Arab Saudi berhubung masa depan Yemen mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, didorong kebimbangan kedua-dua negara Teluk itu terhadap kemaraan Houthi di seluruh Yemen.
Arab Saudi kini berdepan serangan dron dan peluru berpandu setiap hari serta bergelut mengekalkan kehidupan seperti biasa apabila serangan Houthi melumpuhkan operasi lapangan terbang dan menjejaskan sebahagian infrastruktur tenaganya.
Perjanjian itu akan memulihkan semula pembayaran kepada pasukan di selatan Yemen, khususnya Briged Gergasi (Giants Brigades), yang sebelum ini menerima latihan dan pembiayaan daripada UAE, lapor The Guardian pada Sabtu.
Briged berkenaan dianggap antara unit paling berkesan dalam gabungan ketenteraan ant-Houthi di Yemen yang berpecah-belah.
UAE menarik diri daripada operasi ketenteraan di Yemen pada Januari lalu dan menghentikan pembiayaan kepada pasukan berkenaan susulan pertikaian dengan Arab Saudi mengenai masa depan negara itu.
Kerajaan Yemen yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berpangkalan di Aden minggu lalu mengumumkan serangan balas bagi mengusir Houthi dari ibu negara, Sanaa.
Bagaimanapun, kempen ketenteraan itu hanya mencatatkan kejayaan terhad di sekitar Majzar, berhampiran Marib, serta Selat Bab al-Mandab.
Walaupun mengalami kerugian besar, pasukan Houthi terus berusaha menguasai Taiz dan Marib, dua bandar yang masih berada di luar kawalan mereka dalam wilayah bekas Yemen Selatan.
Pemberontak itu turut meningkatkan serangan terhadap Aden. Dua peluru berpandu Houthi menyasarkan lapangan terbang bandar itu pada Jumaat ketika sebuah pesawat penumpang Yemenia Airways sedang bersiap sedia untuk berlepas.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Al-Eryani berkata, peluru berpandu itu mendarat kira-kira 500 meter dari pesawat berkenaan dan sekitar 100 meter dari titik tengah landasan.
Perpecahan politik terus merumitkan kempen menentang kumpulan Houthi. Golongan pemisah di selatan Yemen minggu ini menuntut supaya satu referendum diadakan bagi memulihkan sebuah negara merdeka mengikut sempadan yang memisahkan Yemen Utara dan Yemen Selatan dari 1967 sehingga kedua-duanya bersatu pada 1990.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) belum memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan itu.
Kumpulan pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC) masih belum bersetuju untuk mengerahkan tenteranya ke kawasan di luar sempadan bekas Yemen Selatan. Bagaimanapun, sokongan Arab Saudi terhadap referendum itu boleh mendorong STC menarik balik sekatan berkenaan.











