PETALING JAYA: Jaguh berbasikal para negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin tekad untuk membawa pulang sekurang-kurang pingat gangsa dalam penampilan keduanya di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan menyingkap tirainya, esok.
Atlet kelahiran Kuala Kangsar itu berkata, ketika ini dia dalam kedudukan terbaik dan lebih realistik berhubung pingat selepas mengambil kira kekuatan lawan.
“Alhamdulillah, persiapan saya menuju Sukan Para Asia semuanya berjalan dengan lancar. Pada edisi kali ini saya akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu satu dan tiga kilometer (km) serta lebuh raya.
“Saya bersedia 100 peratus namun selepas mengambil kira kekuatan pencabar saya mensasarkan untuk mendapatkan tempat dua terbaik atau sekurang-kurangnya gangsa bagi acara 1 dan 3 km.
“Cabaran sengit saya menjangkakan bakal diberikan daripada wakil China dan tuan rumah, Jepun,” kata Yusof yang pertama kali beraksi di temasya itu pada edisi 2022 di Hangzhou.
Tahun lalu, Yusof mencipta kejayaan sensasi di pentas dunia apabila mengungguli pingat emas dalam acara pecut 200 meter (m) kategori MC1 pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Hasil kecemerlangan tersebut turut membolehkan atlet berusia 29 tahun itu dinobatkan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025, Mei lalu.
Januari lalu, Yusof menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 selepas menjuarai acara ujian masa berbasikal lebuh raya individu lelaki C1–C2 sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi 2017. – UTUSAN











