Rakyat Malaysia kongsi pengalaman cemas ketika protes Perancis

Rakyat Malaysia kongsi pengalaman cemas ketika protes Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang berada di Perancis berkongsikan pengalaman berdepan suasana tegang susulan protes yang dilaporkan bertukar ganas di beberapa lokasi di negara itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut satu perkongsian di Threads, pengguna akaun @liliabroad.my berkata, dia sempat meninggalkan kawasan Galeries Lafayette sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Katanya, protes itu sudah berlangsung sejak minggu lalu dan penganjur turut mengumumkan lokasi serta jadual mengenai rusuhan yang akan dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya dari minggu lepas lagi sudah mula rusuhan ni. Mereka juga umumkan tempat yang terlibat.

“Terjadi pada petang ini di kawasan pusat beli belah. Nasib baik dapat keluar cepat walaupun kedai sudah dikunci dari dalam. Kekal selamat dan selalu kemas kini dengan jadual mereka,” katanya.

Pengguna akaun @shahrilpawanchee pula berkata, keadaan di sekitar Les Halles pada waktu tengah hari masih tenang dengan hanya kumpulan penunjuk perasaan yang berdiam diri.

Bagaimanapun, sekumpulan individu bertopeng tiba yang dipercayai melarikan diri dari kawasan protes ganas.

“Kejadian siang tadi. Kami jalan kawasan Les Halles masa tu okay lagi. Cuma ada kumpulan bantahan senyap sahaja.

“Tengah makan, geng bertopeng sampai, ini mungkin kumpulan yang lari dari kawasan rusuhan yang ganas. Dari jauh boleh dengar bunyi tembakan gas pemedih mata tu,” katanya.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakannya meninggalkan kawasan itu sekitar pukul 6 petang apabila anggota polis dilihat semakin ramai.

Sementara itu, pengguna lain, @d._.de3 berkata, dia berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk pulang ke apartmen tetapi keadaan dilaporkan masih terkawal.

“Hari ini jalan di Paris, kebanyakan kedai masih tutup. Banyak kedai dan butik kena jarah,” katanya.

Pengguna @ummyshuhadah pula berkongsi, dia memilih terus pulang ke hotel pada waktu petang supaya tidak berada lama di luar.

“Alhamdulillah okay. Balik hotel terus, tak nak lama-lama di luar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri Perancis merekodkan 140 aksi bantahan di seluruh negara itu melibatkan 32,800 peserta manakala seramai 166 orang telah ditahan di seluruh negara.

Sehingga 170,000 penunjuk perasaan dijangka berhimpun di seluruh Perancis, antara 30,000 hingga 60,000 daripadanya bertumpu di Paris sahaja dan kebanyakan bandar lain pada awal tengah hari kelmarin.

Menurut kementerian itu, terdapat pergerakan secara meluas oleh kumpulan radikal haluan kiri yang bertujuan mencetuskan kekacauan dan serangan ganas secara bersasar oleh individu bertopeng dikesan terutamanya di Paris, Marseille, Rennes, Toulouse dan Angers. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini