BELANJAWAN 2027 menyediakan kerangka perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion, termasuk RM83 bilion perbelanjaan pembangunan.
Dalam kerangka yang lebih luas, kerajaan turut menyasarkan penggemblengan sumber berjumlah RM510 bilion melalui perbelanjaan Persekutuan, pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam swasta dan badan berkanun. Skala ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggerakkan ekonomi dan pulangan kepada rakyat.
Dalam persaingan global yang semakin berteraskan kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi, Malaysia tidak boleh sekadar menjadi destinasi pelaburan tetapi perlu muncul sebagai pengeluar teknologi, pencipta nilai dan penyedia tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Daya saing negara tidak seharusnya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata mata. Kejayaan sebenar ialah apabila peningkatan ekonomi diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih tinggi dan kesejahteraan rakyat.
Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk meningkatkan daya saing. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2026 berjumlah RM218.5 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pelaburan ini melibatkan 2,746 projek yang mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan. Daripada jumlah pelaburan tersebut, RM126.9 bilion atau 58.1 peratus merupakan pelaburan asing, manakala RM91.6 bilion ialah pelaburan domestik.
RM1.2 bilion pelaburan Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diumumkan untuk membantu syarikat semikonduktor tempatan bergerak ke segmen industri bernilai lebih tinggi.
Selain itu, RM450 juta diperuntukkan melalui pelaburan dana berkaitan bagi pembangunan syarikat pemula, manakala RM2.1 bilion disediakan untuk memperkukuh syarikat pertengahan dalam bidang elektronik dan elektrikal, digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
Persaingan global kini semakin ditentukan oleh keupayaan menguasai teknologi. Negara yang berjaya menggunakan AI, automasi dan analitik data berpotensi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.
Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi yang dibangunkan negara lain. Sebaliknya, negara perlu membina keupayaan untuk mencipta, menyesuaikan dan mengkomersialkan teknologi sendiri.
Bagaimanapun, transformasi digital perlu melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bukan hanya syarikat besar. Kerajaan menyediakan RM270 juta untuk menyokong PKS, syarikat pertengahan dan perusahaan sosial melalui platform pendanaan awam ekuiti dan pembiayaan rakan setara.
Sokongan ini boleh memberikan manfaat lebih besar jika disertai bimbingan penggunaan AI, automasi, keselamatan siber dan akses kepada pasaran eksport.
Pada masa sama, peningkatan produktiviti mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja. Jika teknologi meningkatkan keuntungan syarikat tetapi gaji pekerja kekal rendah, maka manfaat pertumbuhan tidak diagihkan secara seimbang. Oleh itu, insentif untuk automasi dan pendigitalan wajar disertai pelan pembangunan kemahiran, peningkatan produktiviti pekerja serta laluan kenaikan gaji.
GAJI MINIMUM PERLU MENJADI TITIK PERMULAAN
Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dan pelepasan cukai pendapatan individu turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 setahun berpotensi membantu isi rumah, walaupun kesan sebenar bergantung pada pendapatan, struktur perbelanjaan dan keadaan pekerjaan masing-masing.
Kenaikan gaji minimum merupakan langkah penting tetapi bukan penyelesaian menyeluruh kepada isu gaji rendah. Negara perlu memperkukuh ekosistem pekerjaan yang membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dan pekerjaan bernilai tinggi.
Majikan pula perlu digalakkan menggunakan model gaji yang mengiktiraf kemahiran, pengalaman dan sumbangan produktiviti.
Bagi perusahaan kecil yang menghadapi tekanan kos pula pelaksanaan dasar gaji perlu disokong melalui peningkatan produktiviti, akses pembiayaan dan penggunaan teknologi yang sesuai. Matlamatnya bukan sekadar memastikan pekerja menerima gaji lebih baik tetapi membolehkan syarikat berkembang tanpa bergantung pada kos buruh rendah.
Perubahan teknologi hanya akan memberikan manfaat jika tenaga kerja bersedia menghadapinya. Belanjawan 2027 memperuntukkan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentas kementerian. HRD Corp pula menyediakan dana RM3 bilion untuk menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk pembangunan profesional berterusan.
Dalam masa sama kerajaan turut menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan baharu pada 2027 melalui inisiatif Bakat Madani dan penglibatan syarikat swasta.
Peruntukan ini perlu diterjemahkan kepada kemahiran yang benar-benar diperlukan industri. Latihan dalam AI, robotik, analitik data, kejuruteraan, penyelenggaraan sistem automasi dan keselamatan siber wajar diperkukuh.
Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, institusi TVET dan majikan perlu memastikan kandungan latihan sentiasa relevan dengan perubahan pekerjaan.
Kejayaan latihan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta semata-mata. Petunjuk yang lebih penting ialah kadar peserta memperoleh pekerjaan, peningkatan gaji selepas latihan dan keupayaan menggunakan kemahiran baharu di tempat kerja. Dengan cara ini, wang awam dapat menghasilkan pulangan dalam bentuk produktiviti dan pendapatan yang lebih baik.
KESEJAHTERAAN RAKYAT PERLU BERJALAN SEIRING
Bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion penting untuk membantu keluarga menghadapi tekanan kos sara hidup. Namun, bantuan jangka pendek ini perlu berjalan seiring dengan usaha meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan perlindungan sosial.
Kerajaan juga perlu mengurus kewangan awam secara berdisiplin. Hasil Persekutuan bagi 2027 diunjurkan meningkat kepada RM380.8 bilion, manakala defisit fiskal disasarkan menurun kepada 3.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Sasaran ini penting untuk memastikan kemampuan kerajaan membiayai pembangunan dan perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Oleh itu, setiap peruntukan perlu dinilai berdasarkan keberhasilan. Kerajaan perlu melaporkan bukan sahaja jumlah wang yang dibelanjakan tetapi juga hasilnya kepada rakyat, termasuk pekerjaan yang diwujudkan, peningkatan pendapatan, pertumbuhan PKS dan produktiviti industri.
Belanjawan 2027 perlu menjadi pemangkin kepada ekonomi yang lebih maju dan pengagihan manfaat yang lebih adil.
Malaysia mesti meningkatkan keupayaan teknologi, menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh perusahaan tempatan dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pada masa sama, rakyat perlu menikmati pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan dan peluang membina masa depan.
Daya saing negara bukan matlamat yang terpisah daripada kesejahteraan rakyat. Negara yang mempunyai pekerja berkemahiran, syarikat inovatif dan rakyat berpendapatan lebih baik akan lebih bersedia menghadapi persaingan antarabangsa.
Ukuran kejayaan akhirnya bukan sekadar berapa banyak pelaburan masuk atau betapa pantas ekonomi berkembang tetapi sejauh mana kemajuan itu memperkukuh kehidupan rakyat.
Malaysia bukan sahaja perlu berjaya bersaing di pentas dunia, malah mesti memastikan rakyat menjadi penerima manfaat utama kejayaan tersebut. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).











