Bantuan Khas Kewangan bukti kebajikan pesara terus diberi perhatian

Bantuan Khas Kewangan bukti kebajikan pesara terus diberi perhatian

WAN Ahmad Dahlan Abdul Aziz (empat dari kanan) menyantuni dan menyerahkan sijil penghargaan dan kad pesara kepada Soh Kim Seah (empat dari kiri) pada Program Santuni Pesara di Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 yang diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan menerusi Belanjawan 2027 membuktikan jasa golongan itu terus dihargai kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peningkatan jumlah bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pesara yang pernah mencurahkan bakti kepada negara.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pesara mempunyai nilai yang tinggi kepada kerajaan atas sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan dan tidak seharusnya dilupakan selepas bersara.

 

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan pesara yang telah banyak berjasa ketika berkhidmat dahulu,” katanya selepas Program Santuni Pesara di sekitar Kuala Terengganu, hari ini.

 

Dalam program itu, beliau mengunjungi tiga kediaman pesara termasuk bekas Pembantu Tadbir di Lembaga Letrik Negara, Soh Kim Seah, 90.  Turut disantuni ialah Rosnani Abdullah, 73, bekas Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pertanian Malaysia dan Mohd Saadum Che Embong, 69, bekas Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, program ziarah pesara yang dilaksanakan setiap kali turun padang menjadi antara usaha untuk mendekati golongan berkenaan serta mengenalpasti keperluan kebajikan mereka.

 

Katanya, bantuan seperti kerusi roda dan makanan turut disalurkan mengikut keperluan pesara bagi membantu meringankan beban kehidupan seharian mereka.

 

“Jasa pesara yang pernah mencurahkan bakti kepada kerajaan sebenarnya tidak mampu dibalas sepenuhnya. Namun menerusi program seperti ini, kita dapat memberikan sedikit sumbangan dan menyatakan penghargaan kepada mereka,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, Sistem Hari Bekerja Hibrid (HBH) sistem sedia ada dalam perkhidmatan awam boleh dimanfaatkan ketika berdepan keadaan jerebu tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan masing-masing.

 

Beliau berkata, pelaksanaan aturan kerja itu boleh disesuaikan mengikut keperluan dan kesesuaian tugas di jabatan masing-masing.

 

Menurut beliau, HBH bukan perkara baharu kerana aturan kerja berkenaan sudah dilaksanakan sebelum keadaan jerebu melanda negara.

 

“Dalam konteks jerebu ini, kebetulan masalah jerebu berlaku dan kerja secara hibrid ini telah pun kita laksanakan. Jadi, terpulang kepada ketua jabatan untuk menggunakan keadaan ini,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, ketua jabatan perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan hasil kerja penjawat awam tidak terjejas walaupun bekerja secara hibrid.

 

Katanya, produktiviti dan penyampaian perkhidmatan awam perlu terus terjamin sepanjang aturan kerja itu dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini