Op Samseng Jalanan: 111 motosikal disita, 945 saman dikeluarkan

Op Samseng Jalanan: 111 motosikal disita, 945 saman dikeluarkan

POLIS menyita sebanyak 111 motosikal dalam operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menyita sebanyak 111 motosikal dalam operasi bersepadu membanteras samseng jalanan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula 3 pagi itu, sebanyak 945 saman turut dikeluarkan polis membabitkan pelbagai kesalahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, operasi selama empat jam itu menyaksikan sebanyak 1,635 motosikal diperiksa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, operasi turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Sebanyak 111 motosikal disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala JPJ mengeluarkan 387 notis atas pelbagai kesalahan.

“Sepanjang operasi, sebanyak 1,635 motosikal diperiksa dengan 945 saman dikeluarkan polis,” katanya dalam sidang akbar di lokasi operasi, di sini hari ini.

Mengulas penunggang motosikal bawah umur, Suffian berkata, ibu bapa mereka akan dipanggil polis bagi tindakan susulan.

“Kita mahu memastikan perkara ini mendapat perhatian ibu bapa kerana ia membabitkan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, katanya, seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemeriksaan terhadap motosikal Honda EX5 yang ditunggang lelaki berkenaan mendapati kenderaan itu tidak mempunyai nombor enjin,” jelasnya.

Tambahnya, seramai 14 individu menjalani ujian saringan air kencing dijalankan AADK dalam operasi sama. 

“Bagaimanapun, semua individu yang menjalani saringan didapati negatif dadah,” katanya.

Suffian berkata, seramai 117 pegawai dan anggota daripada tiga agensi penguat kuasa terlibat dalam operasi itu

Daripada jumlah itu, 98 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur, JPJ Kuala Lumpur (12 orang) dan AADK (tujuh orang). – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini