Sabah beralih ke fasa baharu perkasa pembangunan - Hajiji

Sabah beralih ke fasa baharu perkasa pembangunan – Hajiji

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bergambar bersama para pemimpin dan peserta Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat - ihsan GRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Kerajaan negeri kini bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa keupayaan negeri untuk terus maju dan makmur, selaras dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkat, lima tahun pertama pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan politik, memperkukuh kewangan negeri, memantapkan pentadbiran, membina keyakinan pelabur, memperjuangkan hak Sabah serta menghidupkan semula projek tertangguh.

Katanya, kestabilan yang dicapai perlu dimanfaatkan untuk menarik pelaburan, membina infrastruktur dan merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bukannya sekadar memastikan kerajaan kekal berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan. Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 bertempat di Dewan Tun Mustapha di sini, hari ini.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS turut berkata, peningkatan hasil negeri sehingga mencecah RM7 bilion setahun bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, peluang dan pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan mereka.

Beliau mengakui rakyat masih berdepan masalah asas, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik, namun kerajaan negeri sedang melaksanakan usaha berskala besar menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Katanya, usaha itu termasuk pelaksanaan 173 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air di seluruh negeri.

Projek berkenaan merangkumi pembinaan serta penaiktarafan jambatan dan rangkaian jalan raya, selain pembinaan loji rawatan air serta penambahbaikan sistem bekalan air.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek terbabit memerlukan masa kerana perlu melalui pelbagai proses termasuk reka bentuk, pengambilan tanah, tender dan pembinaan.

“Masalah yang telah wujud sejak puluhan tahun tidak boleh, malah mustahil dapat diselesaikan dalam satu malam. Tetapi yang penting, kerja-kerja sedang dijalankan.

“Walau sesukar mana pun cabarannya, kerajaan negeri tidak akan berhenti sehingga segala masalah dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini