JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) menggunakan 2.4 tan ais kering dalam operasi pengubahsuaian cuaca selama dua hari bagi menangani jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera Selatan pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton Panjaitan, berkata operasi itu dilaksanakan susulan gangguan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang serta kesan jerebu tebal terhadap kesihatan penduduk.
Beliau berkata, pesawat BNPB melakukan tiga penerbangan dengan tempoh keseluruhan tujuh jam tiga minit, berlepas dari Lapangan Terbang Raden Inten II di Bandar Lampung, wilayah Lampung.
Dalam penerbangan pada waktu pagi, sebanyak 800 kilogram ais kering ditaburkan di kawasan sekitar Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang.
Data Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan jarak penglihatan bertambah baik daripada 1,000 meter pada pukul 1 tengah hari kepada antara 1,500 hingga 2,000 meter beberapa jam kemudian.
Berton berkata, kaedah pembenihan ais kering bertujuan mengganggu lapisan inversi suhu, iaitu keadaan apabila udara lebih panas berada di atas udara lebih sejuk, sekali gus mengurangkan kestabilan lapisan berkenaan.
Beliau berkata, pemecahan lapisan itu dijangka membantu menyuraikan asap yang terperangkap berhampiran permukaan bumi dan meningkatkan jarak penglihatan.
Selepas penerbangan kedua dan ketiga, jarak penglihatan stabil pada 2,800 meter sebelum meningkat kepada 3,000 meter dan kekal pada tahap itu sehingga pukul 8.30 malam.
Keadaan yang bertambah baik itu dipercayai membantu memastikan operasi penerbangan di rantau berkenaan berjalan dengan lebih selamat dan lancar.
Berton berkata, penilaian dan kajian lanjut diperlukan bagi menentukan keberkesanan kaedah pembenihan ais kering serta sumbangannya terhadap peningkatan jarak penglihatan berbanding faktor meteorologi lain.- ANTARA











