PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tercalon dalam Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2026 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand, pada 19 November ini.
FAM tersenarai dalam kategori Anugerah Negara Ahli (MA) Terbaik Tahun 2026 (Emas), sekali gus membuka peluang buat badan induk bola sepak negara itu meraih pengiktirafan di peringkat Asia.
Dalam kategori itu, FAM bakal bersaing dengan Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) dan Persatuan Bolasepak Hong Kong (HKFA) untuk merebut anugerah berkenaan.
Pencalonan itu hadir ketika FAM berdepan cabaran besar untuk memulihkan imej dan keyakinan terhadap badan induk berkenaan susulan skandal dokumentasi tujuh pemain warisan yang mencetuskan tindakan tegas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tahun lalu.
Anugerah tahunan AFC itu dianjurkan bagi meraikan pencapaian dan sumbangan badan bola sepak, pemain serta penggiat sukan berkenaan dalam pembangunan bola sepak di benua Asia.
Sementara itu, kategori Anugerah Negara Ahli (MA) Terbaik Tahun 2026 (Berlian) menyaksikan persaingan antara Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) dan Persatuan Bolasepak China (CFA).
Bagi kategori Badan Bola Sepak Serantau Terbaik Tahun 2026, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) akan bersaing dengan Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) dan Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF).
Kategori Anugerah Pengiktirafan Presiden AFC untuk Bola Sepak Akar Umbi (Gangsa) pula membabitkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC) dan Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF).
Tumpuan turut terarah kepada kategori individu apabila pemenang Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025, Salem Al-Dawsari, bakal dicabar Alireza Beiranvand dan Feras Al Brikan bagi merebut anugerah tahun ini.- UTUSAN











