Penemuan barang mencurigakan di sekolah perlu dilapor segera 

Penemuan barang mencurigakan di sekolah perlu dilapor segera 

FADHLINA Sidek bergambar kenangan bersama para peserta selepas menghadiri Pertemuan Kelab Perempuan Membaca Fadhlina Membaca Bersama Menteri Pendidikan di Banda Hilir, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua sekolah diminta meningkatkan tahap waspada dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang penemuan barang mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil. 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati terhadap setiap penemuan mencurigakan, terutama apabila ia membabitkan aspek keselamatan di institusi pendidikan.

Katanya, kerjasama sepenuhnya daripada pihak sekolah amat penting bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya berlaku sebarang insiden yang berpotensi mengancam keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada PDRM yang mengambil langkah segera memastikan keselamatan warga sekolah diberikan keutamaan.

“Begitu juga pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), semua pengetua, guru besar serta warga sekolah perlu sentiasa bersedia, apatah lagi dalam isu-isu yang melibatkan keselamatan sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Pertemuan Kelab Perempuan Membaca Fadhlina Membaca di Banda Hilir, di sini hari ini.

Beliau dimintas mengulas mengenai sembilan laporan diterima polis berhubung penemuan bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lima laporan tersebut diterima di Nilai manakala empat lagi di Tampin, dengan hasil siasatan awal mendapati bungkusan yang ditemukan mempunyai persamaan daripada segi bentuk dan kandungannya.

Menurutnya, bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas penerima yang tertera pada bungkusan berkenaan tidak hadir untuk mengambilnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kelab Perempuan Membaca akan terus memperluaskan penganjuran programnya ke negeri-negeri lain susulan permintaan menggalakkan daripada masyarakat.

Beliau berkata, program yang menghimpunkan golongan wanita daripada pelbagai peringkat usia, termasuk ibu, anak-anak dan gadis itu, bertujuan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kelab berkenaan merancang mengadakan pertemuan setiap bulan dengan mengetengahkan tema berbeza, sama ada secara dalam talian mahupun bersemuka bagi memastikan lebih ramai orang dapat menyertainya.

“Permintaan sangat tinggi daripada rakan-rakan kita untuk menjelajah ke seluruh negara sebenarnya. Jadi, ini kali pertama percubaan kita mengadakan program di luar Kuala Lumpur dengan memilih lokasi yang lebih dekat, iaitu Melaka.

“Insya-Allah, pertemuan akan datang kita akan cuba laksanakan di negeri-negeri lain juga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan jerebu ketika ini menjadi antara cabaran kepada penganjuran aktiviti secara fizikal, namun program masih boleh diteruskan menerusi platform dalam talian.

“Kita cuba sedaya upaya untuk terus melaksanakannya sebagai satu daripada gerakan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat terus membaca,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini