SEOUL: Seorang pemilik kilang di Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pekerja warga Thailand menggunakan pistol udara bertekanan tinggi pada Februari lalu.
Mahkamah menolak alasan tertuduh yang mendakwa kejadian itu sekadar gurauan, sebaliknya mengkritik layanan majikan berkenaan terhadap pekerja yang cedera.
Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman itu pada Khamis selepas mensabitkan tertuduh berusia 60-an itu atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dan melanggar Akta Piawaian Buruh Korea Selatan.
Tertuduh, yang identitinya tidak didedahkan, merupakan pemilik sebuah kilang pembersihan logam di Hwaseong, wilayah Gyeonggi.
Dia didapati menyerang pekerjanya, lelaki warga Thailand berusia lingkungan 40-an, menggunakan pistol udara bertekanan tinggi industri pada 20 Februari lalu.
Menurut Agensi Berita Yonhap, mahkamah mendapati majikan itu sengaja menghalakan pistol udara ke dalam rektum pekerja berkenaan selama kira-kira tujuh saat sehingga menyebabkan ususnya mengalami kebocoran sepanjang kira-kira 10 sentimeter.
Mangsa terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.
Sepanjang perbicaraan, majikan itu menafikan sengaja mencederakan pekerjanya, sebaliknya mendakwa kejadian berkenaan berlaku secara tidak sengaja atau sekadar gurauan.
Bagaimanapun, Hakim Koo Na-young menolak penjelasan itu berdasarkan keterangan mangsa yang konsisten serta bukti perubatan.
Mahkamah mendapati tertuduh meneruskan perbuatannya menggunakan pistol udara bertekanan tinggi itu walaupun mangsa mengadu kesakitan.
Hakim turut mengkritik tindakan majikan itu yang didakwa ketawa ketika mangsa menanggung kesakitan, selain cuba memujuk pekerja berkenaan pulang ke Thailand dan bukannya mendapatkan rawatan perubatan lanjut.
Mahkamah mendapati majikan itu memotong kos perubatan daripada gaji pekerja berkenaan, selain turut menyerang pekerja asing lain dengan alasan sekadar bergurau.











