SAN FRANSISCO: Tesla memperkenalkan model Roadster yang direka semula dengan teknologi pendorong seakan-akan roket, dengan pengeluarannya dijadualkan bermula pada 2028 selepas lebih sedekad versi generasi baharunya mula diperkenalkan.
Kenderaan dua tempat duduk berwarna putih itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan SpaceX, syarikat roket milik Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.
Dalam demonstrasi yang dipertontonkan, Roadster itu bergerak dalam keadaan terbalik di atas tanjakan menggunakan sistem sedutan sebelum berpusing di udara dan mendarat dengan bantuan pendorong terbina dalam.
Dalam acara sama, kenderaan itu turut mempamerkan keupayaannya melompat melepasi sebuah trak dan beberapa kenderaan lain, sambil berputar di udara.
Kerjasama itu dilihat sesetengah pemerhati sebagai usaha Musk menarik minat terhadap kemungkinan penggabungan dua syarikat teknologi gergasi yang dikawalnya, susulan perbincangan beliau mengenai pertindihan kepentingan kedua-dua syarikat.
Pendedahan model baharu itu memberikan Tesla sebuah kereta ikonik untuk dipamerkan selepas beberapa kali gagal memenuhi jadual pelancaran Roadster sebelum ini.
Namun, ia hadir ketika syarikat itu mengalihkan tumpuan kepada teknologi pemanduan autonomi dan robotik, selain hanya beberapa hari sebelum pengumuman keputusan kewangan suku ketiga yang menurut penganalisis lebih penting kepada pelabur.
“Ia sekadar demonstrasi kehebatan kejuruteraan tanpa nilai komersial, selain untuk memalukan pengeluar kereta tradisional,” kata rakan kongsi pengurusan Deepwater Asset Management, Gene Munster, yang merupakan pelabur dalam Tesla, menerusi platform media sosial X.
Musk sebelum ini memperkecil kepentingan Roadster terhadap kedudukan kewangan Tesla, dengan menyifatkannya pada 2023 sebagai perkara kecil yang tidak akan memberi kesan besar dari segi kewangan.
Namun, kereta itu tetap mempunyai nilai simbolik tersendiri.
Musk dan eksekutif lain tidak mengumumkan harga sasaran bagi model berkenaan pada acara Khamis lalu, meskipun Tesla pernah menetapkan harga asas AS$200,000 (RM854,000) hampir sedekad lalu.
Halaman tempahan Roadster Tesla selepas acara itu memaparkan varian Performance yang memerlukan deposit AS50,000 (RM213,500), manakala varian Thrust yang dilengkapi ‘pendorong pecutan’ memerlukan deposit AS250,000 (RM1.07 juta).
Tesla turut menyenaraikan varian Rocket yang hanya ditawarkan melalui jemputan, iaitu model satu tempat duduk yang dilengkapi sistem penerbangan penuh.











