Gaji minimum: Ibu bapa bimbang yuran taska turut meningkat

Gaji minimum: Ibu bapa bimbang yuran taska turut meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan ibu bapa kini bimbang mengenai kenaikan yuran bagi taman asuhan kanak-kanak (taska) susulan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai 1 Jun tahun hadapan.

Seorang pekerja swasta, Norfasila Sidi, 33, berkata, pihak taska tempat anaknya dihantar telah memaklumkan mengenai kenaikan yuran daripada RM650 kepada RM747.50 sebulan, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

Katanya, kenaikan bermula hujung tahun itu masih mampu ditanggung namun dia bimbang jika yuran meningkat sehingga 30 peratus kerana gaji diterima tidak semestinya bertambah pada kadar yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau naik 15 peratus, mungkin saya masih boleh bertahan. Tetapi kalau sampai 30 peratus, memang membebankan kerana gaji kami tidak semestinya me­ningkat pada kadar yang sama,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, sekiranya yuran tersebut meningkat terlalu tinggi, dia perlu mempertimbangkan semula perbelanjaan keluarga dan mencari taska lain yang menawarkan yuran lebih rendah dengan syarat keselamatan serta kebajikan anaknya tetap terjamin.

Sementara itu, Kristina Isa, 35, berkata, dia tetap akan menghantar anaknya ke taska walaupun yuran meningkat ke­rana tidak mempunyai pilihan lain untuk memastikan anaknya mendapat penjagaan ketika dia bekerja.

Katanya, pihak taska memaklumkan yuran bulanan akan dinaikkan daripada RM850 kepada RM977.50, iaitu peningkatan RM127.50 sebulan atau RM1,530 setahun jika kadar kenaikan ditetapkan pada 15 peratus.

Menurutnya, bagi menampung pertambahan kos itu, dia terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain dan mengehadkan pembelian yang bukan keperluan.

Katanya, mencari taska yang lebih murah bukan keputusan mudah kerana dia perlu memastikan keselamatan, kebersihan dan kualiti penjagaan anak tidak terjejas.

Oleh itu, dia berharap kerajaan dapat menyediakan subsidi yuran taska kepada keluarga yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah bagi membantu ibu bapa menampung kos penjagaan anak tanpa perlu mengorbankan keperluan asas keluarga.

Dalam pada itu, Faridah Kateh, 38, berpandangan, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 kepada pekerja taska wajar kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan dan keperluan kanak-kanak.

Bagaimanapun, dia berkata, pengusaha taska juga memerlukan sokongan bagi memastikan pertambahan kos gaji tidak menjejaskan operasi serta menyebabkan ibu bapa menanggung beban kewangan yang berlebihan.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, pengusaha dan ibu bapa penting bagi memastikan kebajikan pekerja terpelihara, operasi taska dapat diteruskan dan perkhidmatan penjagaan anak kekal mampu dibayar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini