ANKARA: Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan mengumumkan Ankara menyerahkan satu cadangan rasmi kepada Russia dan Ukraine bagi memastikan perairan Laut Hitam tidak terus diseret ke dalam kancah peperangan.
Langkah diplomatik ini diambil berikutan siri serangan dron ke atas kapal-kapal dagang yang kini mula merebak ke kawasan perairan Romania ketika sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang meneliti bentuk tindak balas yang sesuai.
Fidan menegaskan pendirian konsisten Turkiye konflik berkenaan sepatutnya dihentikan serta-merta. Namun, memandangkan usaha itu belum membuah hasil, Ankara komited untuk sekurang-kurangnya memastikan perairan Laut Hitam kekal terpisah daripada kancah pertempuran.
Beliau turut membincangkan perkara berkenaan secara mendalam bersama Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov bagi mendengar pandangan pihak Moscow.
“Pendirian Turkiye amat jelas iaitu peperangan ini perlu dihentikan. Oleh kerana perkara itu belum dapat direalisasikan, kami berusaha sekurang-kurangnya untuk memastikan Laut Hitam tidak terjejas akibat konflik ini,” kata Fidan.
Siri serangan yang menjejaskan sekurang-kurangnya empat buah kapal di pesisir Bulgaria dan Romania minggu ini mengancam eksport gandum ke Afrika serta wilayah lain.
Krisis ini berlaku pada waktu yang agak kritikal apabila laluan Selat Hormuz ditutup, manakala laluan Selat Bab el-Mandeb berdepan gangguan berterusan.
Fidan menjelaskan keselamatan navigasi di Laut Hitam amat kritikal kerana ia memberi kesan secara langsung kepada pasaran makanan global, sekali gus meletakkan perdagangan gandum ke negara-negara Afrika dalam risiko serta memacu kenaikan harga makanan dan tenaga.
Sementara itu, Wakil Tetap Turkiye ke NATO, Basat Ozturk memaklumkan Ankara sedang berunding dengan kedua-dua pihak bertelagah bagi menguatkuasakan gencatan senjata sementara dan bersifat separa khusus untuk menghentikan serangan terhadap kapal membawa barangan awam.
“Kapal-kapal dagang kini menjadi sasaran kedua-dua pihak dan ini merupakan satu tindakan yang salah. Kami sedang bekerjasama dengan kedua-dua pihak untuk mencapai gencatan senjata sementara dan separa bagi memastikan kapal dagang yang membawa barangan awam tidak terus disasar,” katanya.
Ozturk turut mengingatkan kejayaan Inisiatif Biji Benih Laut Hitam yang pernah diusahakan oleh Turkiye sebelum ini yang terbukti berkesan membendung krisis makanan dunia.
“Ingat kembali Inisiatif Biji Benih Laut Hitam yang diusahakan oleh Turkiye. Ia berfungsi dengan baik dan berjaya mengelakkan krisis makanan global. Kita mampu melakukannya sekali lagi,” tambahnya.
Beliau turut menekankan peranan Turkiye menerusi Konvensyen Montreux yang membolehkan Ankara menutup laluan selat daripada kapal-kapal perang seawal tiga hari selepas konflik meletus pada 24 Februari 2022.
Langkah tegas itu disifatkan berjaya menyekat Laut Hitam daripada berubah menjadi medan pertempuran sebenar.
“Sementara itu, kami memantau Laut Hitam siang dan malam, setiap minit dan setiap jam. Sebanyak 70 peratus daripada gambaran maritim dan udara di Laut Hitam dibekalkan kepada sekutu oleh Turkiye.
“Kami mempunyai garisan pantai terpanjang dan kapasiti tentera laut terbesar di rantau ini,” jelas Ozturk sambil menambah Turkiye bekerjasama rapat dengan sekutu Laut Hitam yang lain iaitu Romania dan Bulgaria. -AGENSI











