Dua kontraktor TNB cedera terkena renjatan elektrik semasa lakukan kerja selenggara - Utusan Malaysia

Dua kontraktor TNB cedera terkena renjatan elektrik semasa lakukan kerja selenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau, di sini yang terbakar petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II, Fadzil Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.10 petang.

Katanya, seramai lapan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anggota mendapati kedua-dua mangsa cedera akibat berlaku renjatan elektrik ketika kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan.

“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.45 petang tadi.

Terdahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berlaku gangguan bekalan eletrik di sekitar Johor Jaya, di sini susulan kebakaran di PMU Kangkar Tebrau.

TNB menerusi kenyataan memberitahu, gangguan itu dikesan berlaku pada pukul 6.03 petang.

“Pasukan teknikal TNB telah digerakkan ke lokasi dan sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Difahamkan, lebih daripada 10 kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik termasuklah Taman Johor Jaya; Taman Molek; Adda Heights; Bandar Dato’ Onn; Kempas; Taman Setia Tropika; Taman Gaya; Taman Molek dan Taman Pelangi Indah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini