Nelayan pantai, penternak ikan dijangka berdepan 'tekanan' El Nino - Utusan Malaysia

Nelayan pantai, penternak ikan dijangka berdepan ‘tekanan’ El Nino

MOHAMAD Sabu bersama dengan ahli Amanah sempena Konvensyen Amanah Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Nelayan pantai dan pengusaha akuakultur dijangka berdepan tekanan sekiranya suhu meningkat sehingga melebihi 40 darjah Celsius kesan daripada fenomena El Nino.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata peningkatan suhu itu boleh menjejaskan hasil tangkapan nelayan pantai apabila ikan bergerak ke tengah laut, sedangkan mereka hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan lima batu nautika.

Katanya, sektor akuakultur darat turut terkesan apabila penternak perlu menanggung kos tambahan bagi menyediakan kanvas dan kolam ternakan untuk menghadapi cuaca panas melampau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persiapan awal perlu dilakukan bagi mengurangkan kesan fenomena berkenaan terhadap sektor pertanian, selain memastikan maklumat mengenai langkah persediaan disampaikan kepada rakyat, khususnya golongan petani.

“Kita telah pun berbincang mengenai perkara ini di peringkat kementerian. Perkara ini juga telah dibincangkan di peringkat Menteri Besar dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada peringkat awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, antara perkara yang diberi penekanan ialah keperluan peruntukan bagi membantu nelayan pantai dan sektor akuakultur menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Nino.

Katanya, fenomena itu memberi kesan besar kepada sektor pertanian, justeru persediaan awal perlu diberi perhatian bagi membantu golongan yang terjejas menghadapi keadaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, El Nino akan memberi kesan utama kepada sektor pertanian berbanding sektor lain.

“Sebab itu kita kena buat persediaan awal memberi maklumat kepada rakyat, tasnya para petani, mereka sekurang-kurangnya buat persediaan-persediaan kecil untuk hadapi suasana El Nino ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia perlu bersiap siaga menghadapi fenomena “Super El Nino” yang dijangka membawa cuaca sangat panas antara Februari hingga Mei tahun depan, sekali gus berpotensi memecahkan rekod suhu tertinggi negara 40.1 darjah Celsius.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, suhu maksimum negara berpotensi melebihi 41 darjah celsius berdasarkan analisis terhadap fenomena El Nino sangat kuat ketika ini, selain kesan perubahan iklim dan pemanasan global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini