PUTRAJAYA: Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa hari ini memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap pesalah lumba haram dan kegiatan tonto, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, akta yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] itu mengandungi 42 fasal pindaan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan JPJ.
“Di bawah peruntukan berkaitan lumba haram, pesalah yang disabitkan kali pertama boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
“Bagi sabitan kedua dan seterusnya, hukuman meningkat kepada denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Seksyen 110B diperkenalkan bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi.
Pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan itu turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Katanya, pindaan itu turut memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar terhadap kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan, termasuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
“Pindaan ini bertujuan menutup kelompongan undang-undang yang boleh menyebabkan pihak tertentu mengelak tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Pindaan berkenaan turut memperkukuh asas perundangan bagi penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis elektronik serta membolehkan pelaporan kemalangan secara digital mengikut tatacara ditetapkan.
Kawalan keselamatan kenderaan elektrik, kenderaan diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti turut diperkemas.
Dalam perkembangan sama, peningkatan had maksimum kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun daripada RM300 kepada RM500 hanya akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2029 bagi memberi tempoh peralihan kepada pengguna jalan raya.
MOT menjelaskan, peningkatan itu tidak bermakna semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik kerana amaun yang ditawarkan bergantung pada jenis kesalahan dan kaedah ditetapkan di bawah Akta 333.
“Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan yang lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” katanya. – UTUSAN











