Penggunaan mask LED atau mask berlampu semakin mendapat perhatian dalam rutin penjagaan kulit kerana dikatakan mampu membantu mengurangkan jerawat, kemerahan dan garis halus pada wajah.
Peranti yang menggunakan teknologi cahaya itu hadir dengan pelbagai pilihan di pasaran, termasuk untuk kegunaan di rumah yang membolehkan pengguna melakukan rawatan sendiri.
Namun, keberkesanannya bergantung pada panjang gelombang cahaya yang digunakan, manakala pemakaian secara berlebihan atau tidak mengikut cara yang betul boleh menyebabkan kulit kering, iritasi dan masalah pigmentasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, mask LED menggunakan cahaya berintensiti rendah yang merangsang sel kulit melalui proses dikenali sebagai photobiomodulation.
Menurutnya, teknologi itu berbeza daripada laser kerana menggunakan cahaya yang tidak membakar atau menghasilkan haba seperti rawatan laser.
“Cahaya itu akan diserap oleh mitokondria dalam sel kulit untuk menghasilkan tenaga yang membantu proses pemulihan kulit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Cahaya berbeza, fungsi berbeza
Dr. Hamidah berkata, keberkesanan mask LED bergantung pada panjang gelombang cahaya yang digunakan kerana setiap jenis cahaya memberikan kesan terhadap kulit.
Cahaya biru dengan panjang gelombang sekitar 415 nanometer membantu membunuh bakteria penyebab jerawat.
Cahaya merah dengan panjang gelombang antara 600 hingga 660 nanometer boleh menembusi lapisan kulit dengan lebih dalam untuk membantu mengurangkan keradangan dan kemerahan.
Cahaya merah juga berpotensi membantu meredakan kemerahan pada individu yang mengalami rosacea, bergantung pada keadaan kulit masing-masing.
Selain itu, cahaya near-infrared dengan panjang gelombang sekitar 830 nanometer dan ke atas digunakan untuk merangsang penghasilan kolagen serta membantu mengurangkan penampilan garis halus.
Penggunaan berlebihan boleh rosakkan kulit
Walaupun mask LED secara umumnya dianggap selamat apabila digunakan dengan betul, pemakaian terlalu kerap boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan mengalami kerengsaan.
Beliau berkata, penggunaan yang tidak sesuai juga berpotensi meningkatkan risiko hiperpigmentasi dan jeragat, khususnya individu yang mempunyai kulit lebih gelap.
Pengguna juga perlu peka terhadap tindak balas kulit selepas rawatan dan menghentikan penggunaan sekiranya mengalami rasa pedih atau iritasi.
“Kalau selepas pakai kulit rasa pedih, hentikan penggunaan. Jangan anggap keadaan itu sebagai tanda kulit sedang sembuh,” katanya.
Selain kesan terhadap kulit, perlindungan mata turut menjadi aspek penting kerana penggunaan mask LED tanpa langkah keselamatan yang sesuai boleh mendatangkan risiko kepada mata.
“Pengguna perlu memakai pelindung mata yang sesuai digunakan sepanjang rawatan, terutama jika peranti berkenaan tidak menyediakan penutup khas,” katanya.
Dari segi kekerapan, mask LED untuk kegunaan di rumah boleh digunakan sekitar dua hingga tiga kali seminggu, bergantung pada spesifikasi peranti dan arahan pengeluar.
Bagi peranti profesional di klinik pula, penggunaannya lazimnya sekitar satu hingga dua kali seminggu, mengikut protokol rawatan dan keadaan kulit.
Sebelum menggunakan mask LED, wajah perlu dibersihkan dan bebas daripada alat solek.
Beliau mengingatkan pengguna supaya tidak meningkatkan kekerapan pemakaian semata-mata untuk mendapatkan hasil lebih cepat kerana tindakan itu boleh meningkatkan risiko kesan sampingan.
Golongan tertentu perlu berhati-hati
Individu yang mempunyai ekzema, kulit sensitif atau jangkitan kulit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan mask LED.
Masalah kulit sedia ada perlu dirawat terlebih dahulu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
Selain itu, individu yang menjalani rawatan estetik atau mengambil ubat tertentu, termasuk isotretinoin dan antibiotik untuk jerawat, juga perlu berhati-hati kerana sesetengah rawatan atau ubat boleh meningkatkan sensitiviti kulit terhadap cahaya.
“Pesakit sawan yang sensitif terhadap cahaya serta individu dengan penyakit autoimun seperti SLE juga perlu berhati-hati.
“Penggunaan mask LED tidak digalakkan pada kulit yang mempunyai luka, manakala wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak disarankan mengelakkannya kerana data keselamatan bagi golongan berkenaan masih tidak mencukupi,” jelasnya.
Individu yang mempunyai masalah mata tertentu, termasuk mata kering yang teruk atau glaukoma, turut disarankan mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan peranti berkenaan.
Buat semakan
Pengguna juga disarankan memeriksa spesifikasi sebelum membeli mask LED, termasuk panjang gelombang, kuasa dan tahap keamatan cahaya yang dipancarkan oleh peranti.
Dr. Hamidah menyarankan pengguna menyemak pensijilan atau kelulusan berkaitan peranti perubatan, termasuk status kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), jika berkenaan.
Pengguna perlu berhati-hati dengan produk yang tidak menyatakan spesifikasi cahaya secara jelas, khususnya mask LED pelbagai warna yang mendakwa mempunyai pelbagai manfaat tanpa maklumat teknikal yang boleh disahkan.
“Jangan mudah percaya yang setiap warna itu mempunyai fungsi tertentu. Kita perlu tahu cahaya apa yang digunakan dan panjang gelombangnya,” katanya.
Oleh itu, pengguna perlu mengutamakan maklumat teknikal dan ciri keselamatan berbanding harga murah atau dakwaan pemasaran semata-mata.











