PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengadakan libat urus dengan Jawatankuasa Pilih Khas Parlimen bagi memperhalusi pindaan Perlembagaan berhubung pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dibuat susulan beberapa perkara yang dititahkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebarang pindaan atau penambahbaikan terhadap draf pindaan Perlembagaan itu perlu dimaklumkan semula kepada Majlis Raja-Raja selepas proses libat urus dan perbincangan berkenaan selesai.
“Perkara itu antara dua agenda reformasi utama yang turut dimaklumkan Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri, selain cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang turut dibawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja.
“Yang kedua berkait dengan pindaan Perlembagaan bagi memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, beliau berkata, Anwar turut memaklumkan kepada Jemaah Menteri hasil sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja berhubung cadangan pindaan Perlembagaan itu.
Menurutnya, kedua-dua perkara berkenaan merupakan usaha reformasi besar kerajaan, namun masih terdapat beberapa proses yang perlu diperhalusi sebelum dimuktamadkan. – UTUSAN











