Tuanku Muhriz murka, enggan terima menghadap Ismail Lasim - Utusan Malaysia

Tuanku Muhriz murka, enggan terima menghadap Ismail Lasim

TUANKU MUKHRIZ TUANKU MUNAWIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Selagi dia tidak tarik balik apa yang dia kata, jangan datang jumpa saya.”

Demikian titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam satu video yang tular di media sosial dipercayai dirakam selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah hari ini.

Dalam video berkenaan, baginda mempersoalkan tujuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim datang menghada selepas didakwa menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengatakan keputusan yang dia buat bersama Exco adalah sah dan saya bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Jadi, datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa dia kata itu, jangan datang jumpa saya. Pergi, jangan jumpa saya, saya tidak mahu jumpa kamu, faham?,” titah baginda dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, kesahihan konteks penuh video serta butiran surat berkenaan belum dapat dipastikan berdasarkan rakaman yang tular itu.

Krisis institusi diraja Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kesahihan proklamasi itu menjadi pertikaian apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antaranya atas alasan status tiga daripada empat penandatangan serta proses yang didakwa tidak dipatuhi sepenuhnya.

Kemelut itu memuncak pada 16 September lalu apabila barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan proklamasi berkenaan adalah sah.
Susulan itu, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua ahli Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Raja-Raja Melayu baru-baru ini menegaskan, pihak luar tidak seharusnya mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebaliknya menyeru semua pihak mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan adat negeri.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendirian berhubung isu berkenaan hendaklah diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa dalam semangat syura serta musyawarah.

Menurut beliau, proses penyelesaian itu mestilah berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini