Utamakan tiket ECRL untuk rakyat Pahang - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Utamakan tiket ECRL untuk rakyat Pahang – Wan Rosdy

WAN ROSDY Wan Ismail ketika sidang akhbar pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Kerajaan Negeri Pahang sempena SIBS 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. -UTUSAN/ SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat negeri Pahang perlu mendapat manfaat apabila perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi kelak termasuk diberikan keutamaan dalam pembelian tiket.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permintaan itu telah dikemukakan kepada pihak pengurusan ECRL, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak bagi memastikan rakyat Pahang mempunyai akses kepada perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan rakyat Pahang berdepan kesukaran mendapatkan tiket memandangkan laluan ECRL menghubungkan Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami juga telah meminta supaya memberi keutamaan kepada orang Pahang kerana laluan kereta api tersebut bermula dari Kelantan sampai ke Gombak.

“Kami bimbang tiket penuh kerana orang Kelantan akan membeli tiket tersebut. Jadi, kami mahu ada tiket khas dari Kuantan ke Gombak untuk orang Pahang dan juga stesen-stesen yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pertukaran Dokumen pemeteraian 12 perjanjian pelaburan bernilai RM421 juta sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pihak pengurusan ECRL telah memberikan jaminan bahawa keutamaan kepada rakyat Pahang akan dipertimbangkan selaras dengan sumbangan negeri itu dalam menjayakan pelaksanaan projek berkenaan.

Jelasnya, Pahang memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek ECRL termasuk menyediakan tanah bagi pembinaan infrastruktur rel berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perkhidmatan ECRL yang pada asalnya dijadualkan beroperasi pada awal tahun depan berpotensi memulakan operasi seawal Disember ini, susulan perbincangan dengan pihak pengurusan projek.

Selain meningkatkan kemudahan pengangkutan, beliau berkata, ECRL dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pahang, khususnya melalui pembangunan kawasan sekitar stesen.

“Kerajaan negeri sudah mewartakan kawasan seluas kira-kira 16 kilometer bagi tujuan komersial di tujuh stesen ECRL di Pahang bagi memastikan kawasan berkenaan dapat dibangunkan secara terancang.

“Permohonan tanah oleh individu di kawasan terbabit tidak diluluskan kerana kerajaan negeri mahu memastikan potensi pembangunan komersial di sekitar stesen dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini