APABILA sejarah industri getah di Malaya dan Tanah Melayu disebut, kita segera terbayang estet yang luas, rumah pengurus dengan beranda besar, pejabat berdaftar di Singapura atau London, serta pokok getah yang berbaris sejauh mata memandang.
Di bawah pokok-pokok itu pula, lelaki dan wanita India menoreh getah sejak awal pagi.
Gambaran itu benar tetapi tidak lengkap. Jika rajin membaca dari pelbagai sumber selain buku teks sekolah, kita akan sedar hakikat kaum India bukan sekadar penoreh, pekerja atau kuli di ladang getah.
Sebenarnya, ada kaum India menjadi pedagang, ceti atau pemberi pinjaman, pelabur, malah pemilik estet getah. Bukti mengenainya bukan sekadar cerita lisan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Angka rasmi, kajian akademik, rekod kerajaan dan dokumen berkaitan pemilikan tanah menunjukkan realiti orang India memang pernah memiliki estet getah di Tanah Melayu.
Antara kelompok paling penting dalam sejarah ini ialah komuniti Nattukottai Chettiar atau Nagarathar yang berasal dari Chettinad, Tamil Nadu.
Raman Mahadevan dalam makalah Pattern of Enterprise of Immigrant Entrepreneurs: A Study of Chettiars in Malaya, 1880-1930 di Economic and Political Weekly (Januari-Februari 1978) menjelaskan perkembangan kegiatan perniagaan Chettiar di Malaya.
Komuniti Chettiar pada mulanya terkenal sebagai pemberi pinjaman wang tetapi lama-kelamaan, pengumpulan modal membolehkan sebahagian daripada mereka bergerak ke sektor perusahaan dan pemilikan tanah.
Ladang getah di Malaya membuka ruang lebih besar kepada mereka.
Apabila harga getah naik, tanah yang ditanam getah menjadi aset amat bernilai. Apabila peminjam wang gagal melunaskan pinjaman yang dicagar dengan tanah, maka tanah dan ladang berpindah tangan.
Namun, mereka tidak hanya menunggu orang berhutang. Menurut Mahadevan, mulai dekad 1920-an, komuniti Chettiar turut melaburkan modal sendiri dalam estet getah.
Antara contoh menarik ialah Nagappa Rubber Estate di Johor.
Sekitar 1926, kumpulan PKN, sebuah kumpulan perniagaan Chettiar yang ada kepentingan di beberapa bahagian Asia, memperoleh estet seluas kira-kira 170 ekar itu.
Sementara itu, kumpulan K.V.A.L. Chettiar melalui ejennya, O.A.R. Arumachellam Chettiar, memperoleh kira-kira 1,000 ekar tanah hutan di Johor pada 1925-1926 dan menjadikannya ladang getah.
Beberapa estet kecil bersebelahan kemudian diperoleh sehingga kawasan itu berkembang menjadi kira-kira 1,260 ekar. Ia kemudian berkembang menjadi syarikat persendirian bernama Ayer Manis Estate Private Limited dengan saham utama dimiliki golongan Chettiar.
Data pemilikan estet getah pada 1932 diterbitkan pegawai Jabatan Pertanian, D.H. Grist dalam risalah bertajuk Nationality of Ownership and Nature of Constitution of Rubber Estates in Malaya (1933).
Daripada 2,301 estet getah berkeluasan 100 ekar dan ke atas, sebanyak 242 estet dikategorikan sebagai milik India. Jumlah itu kira-kira 10.5 peratus daripada bilangan estet dalam kategori tersebut.
Dari segi keluasan pula, menurut D.H. Grist, estet milik kaum India merangkumi sekitar 58,000 ekar atau kira-kira 3.1 peratus daripada keseluruhan kawasan estet berkeluasan 100 ekar ke atas.
Angka 3.1 peratus mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan pemilikan Eropah. Namun, persoalan bukan sama ada orang India merupakan pemilik terbesar. Apa yang penting adalah data dan bukti kaum India pernah memiliki estet getah.
Malah, data bagi 1938 menunjukkan sekitar 87,795 ekar kawasan estet getah di Malaya berada di bawah pemilikan kaum India, khususnya golongan Chettiar.
David W. Rudner dalam buku Caste and Capitalism in Colonial India: The Nattukottai Chettiars (1994) turut menjelaskan kedudukan Nattukottai Chettiar sebagai komuniti modal yang aktif dalam kegiatan kewangan dan pelaburan.
Sebagaimana ditegaskan Ummadevi Suppiah dan Sivachandralingam Sundara Raja dalam makalah The Indian Diaspora in Malaya: Links and Divides Between the Chettiar Business Class and Working Class Indians During the British Colonial Era dalam jurnal Indian Historical Review (Disember 2017), masyarakat India di Malaya tidak terdiri daripada satu kelompok ekonomi yang seragam.
Sebenarnya, ada kelas pekerja, kelas perniagaan dan penjawat awam.
Komuniti Chettiar berada dalam kelompok perniagaan, sedangkan sebahagian besar pekerja estet terdiri daripada orang India Selatan, khususnya Telugu, Tamil dan Malayali.
Buku Indian Communities in Southeast Asia (1993) yang disunting oleh K.S. Sandhu dan A. Mani turut mendokumentasi kepelbagaian ekonomi masyarakat India di Asia Tenggara, termasuk kegiatan perniagaan, perdagangan dan perusahaan.
Maka gambaran umum konon semua ladang getah di Malaya ialah milik Eropah manakala semua orang India ialah pekerja perlu diperbetulkan.
REKOD SEJARAH
Rekod Arkib Negara Malaysia turut menjadi bukti kukuh. Misalnya, ada rekod arkib bertarikh 7 Februari 1965 bagi C.R. Masai Rubber Estate di Johor Bahru milik N. Subramanyam Chettiar.
Data rasmi Banci Pekebun Kecil Getah 2023 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada 30 Julai 2025 merekodkan 508,850 pekebun kecil getah di Malaysia.
Daripada jumlah itu, 2,605 ialah pekebun kecil kaum India, termasuk 191 di Johor, Negeri Sembilan (910), Perak (479), Pahang (379) dan Melaka (217).
Data membuktikan kaum India masih memiliki dan mengusahakan kebun getah. Untuk rekod, takrif RISDA bagi pekebun kecil ialah pemilik kebun getah dan atau sawit yang mempunyai keluasan kurang daripada 100 ekar.
Pada masa lalu, kaum India pernah memiliki ladang getah di Tanah Melayu. Statistik pemilikan dari 1932 hingga 1938 menunjukkan, ada ladang 170 ekar dan estet sekitar 1,260 ekar.
Pokok-pokok getah itu mungkin sudah ditebang. Estet mungkin sudah bertukar tangan dan nama syarikat mungkin sudah hilang. Namun, sejarah tidak hilang hanya kerana pokoknya sudah tiada.
Selagi rekod rasmi dan data sahih masih ada, kita masih ada bahan bukti bahawa kaum India bukan sekadar penoreh getah. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











