PETALING JAYA: Tiada kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap baik setakat pagi ini dengan Pasir Gudang, Johor mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 209 sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Berdasarkan pemantauan di Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 37 stesen merekodkan IPU sederhana manakala 30 stesen lagi berada pada tahap tidak sihat setakat pagi ini.
Selain Pasir Gudang, beberapa kawasan turut merekodkan bacaan tidak sihat antaranya Larkin, Johor pada 195, Nilai, Negeri Sembilan (190), Johan Setia, Selangor (185), Klang, Selangor (181) dan Seremban, Negeri Sembilan (180).
Di Johor, kawasan lain yang turut terjejas ialah Pengerang dengan bacaan 178, Batu Pahat (172), Kluang (171), Kota Tinggi (166), Tangkak (163) dan Segamat (160).
Di Selangor pula, Petaling Jaya mencatatkan IPU 173 manakala Shah Alam merekodkan 172.
Mengikut pengelasan JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat. – UTUSAN











