Malaysia berupaya capai defisit fiskal bawah tiga peratus daripada KDNK - Utusan Malaysia

Malaysia berupaya capai defisit fiskal bawah tiga peratus daripada KDNK

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mampu mengurangkan defisit fiskal kepada di bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan sekitar 4.5 hingga lima peratus, kata MARC Ratings Berhad.

Ketua Ekonominya, Prof. Dr. Ray Choy berkata, sasaran itu turut bergantung pada keadaan subsidi bahan api yang dijangka kembali normal dan berkurangan, melainkan krisis di Selat Hormuz berterusan sehingga memerlukan kerajaan mengekalkan subsidi bahan api pada tahap yang tinggi.

Katanya, kerajaan sedang meneliti isu subsidi bahan api serta langkah yang boleh diambil untuk memastikan subsidi berkenaan lebih bersasar bagi mengawal kedudukan fiskal negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Malaysia, usaha mengurangkan nisbah defisit kepada KDNK sehingga di bawah tiga peratus pada suatu ketika nanti adalah sesuatu yang boleh dicapai,” katanya dalam webinar MARC360: Menghurai Belanjawan 2027 – Ekonomi dan Langkah Seterusnya di sini hari ini.

Beliau berkata, agensi penarafan dijangka terus menekankan kepentingan meluaskan asas cukai dan meningkatkan fleksibiliti fiskal bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

Beliau berkata, perbelanjaan mengurus kerajaan ketika ini merangkumi kira-kira 82 peratus daripada jumlah perbelanjaan, menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan.

“Fleksibiliti fiskal yang lebih kukuh penting bagi memastikan Malaysia mempunyai sumber mencukupi untuk menghadapi krisis berbilang dimensi termasuk ancaman biologi, konflik geopolitik dan krisis berkaitan iklim.

“Faktor luaran yang tidak dijangka semakin kerap berlaku dan kerajaan perlu mempertimbangkan pembinaan penampan fiskal bagi menghadapi kemungkinan krisis sedemikian,” ujarnya

Dalam pada itu, Ray berkata, keadaan pembiayaan dijangka kekal mencabar dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berikutan peningkatan hasil bon dan kos pembiayaan.

Katanya, sektor hartanah juga menyerap sebahagian besar bekalan pembiayaan yang tersedia dalam pasaran, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos pembiayaan.

Beliau berkata, Malaysia juga boleh meneroka sumber pertumbuhan baharu melalui sektor ekonomi primer, termasuk pertanian, perlombongan, pengkuarian serta minyak dan gas.

“Sektor-sektor berkenaan secara kolektif merangkumi kira-kira 16 peratus daripada KDNK nominal berdasarkan data suku kedua 2026, manakala pertumbuhannya turut meningkat antara tempoh sebelum dan selepas pandemik.

Ray berkata, Malaysia turut berpotensi meraih manfaat daripada sumber unsur nadir bumi, dengan beberapa anggaran meletakkan nilainya pada kira-kira satu pertiga hingga separuh daripada KDNK negara.

“Saya yakin angka ini akan terus berkembang seiring dengan usaha kita memetakan sumber unsur nadir bumi Malaysia. Anggaran ini memberikan gambaran tentang saiz dan potensi industri unsur nadir bumi.

“Secara keseluruhan, Malaysia boleh terus mendapat manfaat daripada kekayaan sumber semula jadinya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini