PARIT: Kehadiran puluh an anjing liar yang berkeliaran di sekitar bandar Seri Iskandar dan kawasan perindustrian di sini menimbulkan kebimbangan penduduk, peniaga serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Tinjauan mendapati, haiwan berkenaan berkeliaran di beberapa lokasi termasuk sekitar bangunan lama terbiar yang dipenuhi semak samun dan dipercayai menjadi tempat ia berlindung.
Peniaga, Sabre Manap, 47, berkata, jumlah anjing liar semakin bertambah, terutama pada waktu malam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai.
Menurutnya, haiwan berkenaan turut berkeliaran di kawasan perniagaan pada waktu tengah hari, petang dan ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.
“Saya tengok anjing liar semakin banyak, sudah berpuluh-puluh ekor. Haiwan ini berkeliaran mencari makan dan saya bimbang ia menyerang manusia.
“Najisnya juga bertaburan di merata tempat manakala pelanggan berasa tidak selesa untuk berkunjung ke kawasan perniagaan,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan operasi menangkap anjing liar bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk serta peniaga.
Sementara itu, seorang pelajar IPTA yang enggan dikenali berkata, mahasiswa yang tinggal di luar kampus dan berulang-alik ke universiti turut bimbang dikejar haiwan berkenaan.
Katanya, kehadiran anjing liar yang semakin banyak menyebabkan pelajar berasa kurang selamat ketika bergerak ke kampus.
“Kami berharap pihak berkenaan menjalankan operasi menangkap anjing liar di kawasan ini kerana jumlahnya semakin banyak,” katanya.
Penduduk berharap tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah itu sebelum berlaku kejadian tidak diingini. – UTUSAN











