GEORGE TOWN : Institusi-institusi pendidikan termasuk sekolah yang berada di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan beroperasi seperti biasa esok dengan semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan berikutan masalah jerebu yang melanda negara ketika ini.
Menurut JPNPP dalam satu kenyataan, keputusan itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kesemua empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang berada di bawah paras 150 sehingga pukul 2 petang tadi.
“Murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah perlindungan kesihatan manakala ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak-anak berikutan keadaan jerebu pula boleh mempertimbangkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pentadbir sekolah.
“JPNPP akan terus memantau perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa serta memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu lagi.-UTUSAN











