APABILA kerajaan Persekutuan mengumumkan projek pembangunan untuk Kelantan, adakah kita mampu mengucapkan terima kasih atau segala usaha tetap mahu dihentam hanya kerana perbezaan pentadbiran politik negeri dengan kerajaan pusat?
Persoalan ini wajar menjadi renungan rakyat Kelantan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi Belanjawan 2027 yang merangkumi beberapa projek penting untuk negeri Serambi Mekah itu.
Projek Empangan Lebir, penggantian paip air usang, penyambungan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, pembinaan stesen bas bersepadu di Kota Bharu, kemudahan pembedahan robotik di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) serta pembinaan tabika untuk masyarakat Orang Asli bukan perkara kecil yang boleh dipandang sepi.
Semua inisiatif itu menyentuh keperluan rakyat, daripada bekalan air bersih dan keselamatan menghadapi banjir hinggalah kemudahan kesihatan, pengangkutan serta pendidikan generasi muda.
Justeru, jika usaha pembangunan diumumkan demi kepentingan rakyat Kelantan, mengapa masih ada kecenderungan untuk melihat segala-galanya melalui kaca mata politik sehingga kebaikan pun sukar diakui?
FEDERALISME
Dalam sebuah negara persekutuan, perbezaan politik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri ialah realiti demokrasi. Namun, perbezaan itu tidak sepatutnya menjadi tembok yang menghalang kerjasama demi kepentingan rakyat.
Anwar tidak perlu menjadi pemimpin Pas untuk membangunkan Kelantan. Begitu juga kerajaan Persekutuan tidak perlu mempunyai fahaman politik yang sama dengan pentadbiran negeri untuk memberikan perhatian kepada keperluan rakyatnya.
Inilah semangat federalisme yang perlu difahami dan dihargai. Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menjaga kepentingan penyokong sendiri, sebaliknya memastikan rakyat mendapat peluang pembangunan tanpa dijadikan mangsa persaingan politik.
Masalah air tidak mengenal parti. Banjir tidak memilih penyokong kerajaan atau pembangkang. Begitu juga pesakit yang memerlukan rawatan dan anak-anak yang mendambakan pendidikan lebih baik, semuanya mempunyai hak untuk menikmati kemudahan sewajarnya.
Maka, apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan usaha membantu Kelantan, pengiktirafan yang adil sewajarnya diberikan.
Mengucapkan terima kasih bukanlah menggadai prinsip yang bererti menyerahkan sokongan politik, apatah lagi mengkhianati perjuangan parti sendiri.
Sebaliknya, ia membuktikan seseorang mampu membezakan kepentingan rakyat daripada persaingan kuasa.
UKURAN NILAI PROJEK
Projek Empangan Lebir, misalnya, membawa harapan terhadap penyelesaian jangka panjang bagi masalah banjir dan bekalan air bersih. Usaha itu seiring dengan penyiapan fasa kedua Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok serta perancangan Takungan Air Pinggiran Sungai dan Loji Rawatan Air di Machang yang kini berada pada peringkat reka bentuk.
Penggantian paip air usang pula penting bagi memperbaiki mutu perkhidmatan kepada pengguna, manakala penyambungan ECRL ke Rantau Panjang berpotensi memperkukuh jaringan pengangkutan dan membuka peluang ekonomi.
Pembinaan stesen bas bersepadu dengan Stesen ECRL Kota Bharu boleh melengkapkan kemudahan perjalanan. Teknologi pembedahan robotik di Hospital Pakar USM berpotensi memperkukuh keupayaan rawatan, manakala tabika di Kampung Angkek dan Pos Belatim memberi perhatian kepada pendidikan awal masyarakat Orang Asli.
Bagaimanapun, pengumuman tidak boleh disamakan dengan kejayaan. Semua projek perlu dilaksanakan, dipantau dan dinilai berdasarkan hasilnya. Rakyat berhak menuntut penjelasan tentang kemajuan, peruntukan dan manfaat sebenar.
Namun, tuntutan supaya janji ditunaikan tidak bermaksud segala usaha perlu dinafikan. Kita boleh mengkritik kelewatan tanpa menolak kepentingan projek. Kita boleh menuntut akauntabiliti tanpa menghina pihak yang berusaha.
SURAH AR-RAHMAN
Di sinilah Surah ar-Rahman wajar dijadikan panggilan kesedaran kepada masyarakat, khususnya rakyat Kelantan yang terkenal dengan tradisi keilmuan agama tinggi selain kerendahan budi pekerti.
Surah ke-55 dalam al-Quran itu mengandungi 78 ayat dan mengingatkan manusia serta jin tentang limpahan nikmat Allah SWT melalui ayat yang berulang: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”
Peringatan ini bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan, tetapi direnungkan maknanya dalam kehidupan. Manusia sering menyedari nilai sesuatu nikmat apabila kehilangannya.
Air bersih yang mengalir, keselamatan daripada bencana, kemudahan rawatan dan pendidikan yang tersedia ialah antara perkara yang mempengaruhi kesejahteraan kehidupan.
Dalam konteks pembangunan, kesyukuran juga menuntut kita menghargai usaha manusia yang membawa kebaikan, tanpa melupakan bahawa setiap kemudahan perlu diurus dengan amanah dan adil.
Jika sesuatu usaha memberi manfaat kepada rakyat, mengapa kita begitu sukar mengakuinya hanya kerana ia datang daripada pihak yang berbeza politik?
Masyarakat yang memahami nilai agama seharusnya mampu berlaku adil dalam penilaian. Menghargai kebaikan tidak menjadikan kita pengampu, sebagaimana menegur kelemahan tidak menjadikan kita pembenci.
JANGAN BIARKAN POLITIK MATIKAN BUDI
Kelantan mempunyai tradisi ilmu dan budaya yang menitikberatkan adab serta budi bahasa. Nilai itu sewajarnya diterjemahkan dalam cara masyarakat menilai tindakan pemimpin, termasuk kesediaan mengakui sumbangan pihak yang berbeza pendirian.
Anwar wajar dinilai berdasarkan komitmen yang diumumkan dan pelaksanaannya. Kerajaan negeri pula perlu memainkan peranan dalam memastikan kerjasama berjalan lancar demi kepentingan rakyat. Pada masa sama, rakyat berhak menuntut supaya setiap janji ditunaikan.
Namun, jangan sampai semangat mempertahankan parti menyebabkan kita kehilangan keupayaan membezakan antara usaha yang baik dengan kelemahan yang perlu diperbetulkan.
Belajarlah berterima kasih apabila ada usaha yang membawa manfaat. Beranilah mengkritik apabila berlaku kekurangan. Kedua-duanya bukan perkara yang bercanggah, sebaliknya mencerminkan kematangan masyarakat.
Air bersih yang sampai ke rumah, risiko banjir yang berjaya dikurangkan, rawatan kesihatan yang lebih baik dan pendidikan untuk anak-anak bukan kemenangan mutlak mana-mana parti. Semua itu ialah manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.
Justeru, renungilah seruan Surah ar-Rahman: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”
Jangan terlalu ghairah menghentam sehingga terlupa bersyukur. Jangan terlalu taasub berpolitik sehingga kebaikan pihak lain pun dinafikan.
Mengucapkan terima kasih tidak menjatuhkan maruah. Sebaliknya, keengganan mengiktiraf kebaikan hanya kerana perbezaan politik itulah yang sepatutnya kita insafi.
Ruh..ruh
neh..neh
Buang yang keruh,
ambil yang jernih
Kor guanor? – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.











