GEORGE TOWN : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin akan menggunakan sepenuhnya proses mahkamah bagi membersihkan nama beliau daripada segala tuduhan rasuah yang dihadapinya ketika ini.
Menurut beliau, pihaknya memang menunggu saat ketika didakwa agar berpeluang untuk membuktikan perkara yang sebenar menerusi proses perundangan.
“Saya memang tunggu untuk dituduh (didakwa) kerana saya lebih suka dituduh supaya saya boleh buktikan bahawa saya tidak bersalah daripada terus tidak tahu apa yang berlaku.
“Selepas saya keluar daripada direman oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) iaitu selama lebih kurang 50 hari, masih tidak ada dakwaan (dibuat).
“Jadi, saya tunggu apa sebenarnya yang berlaku dan apa dakwaan yang dibuat terhadap saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang selepas mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan rasuah berjumlah RM847,107.61 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shaik Hussein yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berkata, beliau yakin perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan baik menerusi proses mahkamah termasuk penjelasan berhubung aspek teknikal yang didakwanya perlu diperjelaskan.
Dalam pada itu, Shaik Hussein mendakwa, pertuduhan terhadapnya mungkin mempunyai unsur intimidasi politik dengan mengambil kira kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin UMNO serta perkembangan politik semasa.
“Sebagai pemimpin politik, saya mesti kata ini mungkin satu intimidasi politik. Saya dapat surat dakwaan semalam dan didakwa pagi ini dengan jaminan RM1 juta serta 15 pertuduhan. Tetapi, saya tidak menuduh sesiapa. Saya yakin rakyat akan membuat keputusan yang tepat menerusi peti undi,” katanya.-UTUSAN









