Jangan bakar duit demi pemasaran

Jangan bakar duit demi pemasaran

Majlis MoU KNKV bersama rakan strategik yang disempurnakan Adam (tengah) sempena program KNKV Branding & Marketing War 2027 di Kuala Lumpur. Turut kelihatan Mohd Shahar (belakang, kiri) dan Dr. Zurainah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pemasaran tanpa sasaran dan ukuran pulangan yang jelas boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan, justeru syarikat perlu menetapkan bajet khusus bagi memastikan setiap pelaburan membina jenama memberikan hasil yang berbaloi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. Dr. Adam Richman berkata, strategi pemasaran yang berkesan perlu berasaskan keadaan pasaran serta gelagat pengguna, bukannya bergantung kepada andaian semata-mata.

“Setiap perkara yang kita lakukan mesti mempunyai pulangan pelaburan (ROI), manakala syarikat yang beroperasi tanpa bajet ditetapkan mencerminkan pengurusan yang gagal,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, peruntukan khusus bagi penjenamaan, pemasaran dan platform digital penting supaya setiap aktiviti mempunyai hala tuju yang selari dengan sasaran perniagaan, sekali gus mengelakkan perbelanjaan dibuat tanpa perancangan teratur.

Menurutnya, keputusan pengguna ketika membeli sesuatu produk turut dipengaruhi psikologi pembelian, menjadikan pemahaman terhadap perubahan corak perbelanjaan masyarakat antara perkara penting sebelum kempen pemasaran dilaksanakan.

Jelas beliau, kajian pasaran pula membolehkan usahawan memahami kehendak pelanggan dengan lebih tepat, di samping mengenal pasti pendekatan yang mampu membezakan produk mereka daripada pesaing.

“Usahawan tidak boleh bergantung kepada kreativiti semata-mata, sebaliknya perlu meneliti setiap butiran dan memahami pasaran agar strategi yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.

Mohd Shahar (depan, tiga dari kiri) dan Dr. Zurainah (depan, empat dari kiri) bersama tetamu kenamaan serta para usahawan yang menyertai KNKV Branding & Marketing War 2027 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian pada KNKV Branding & Marketing War 2027 yang dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail serta Pengasas dan Rakan Pengurusan Nik Safia & Co, Safia Ahmad Jahidi.

Sementara itu, Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata, pembinaan jenama yang kukuh bermula dengan identiti dan nilai yang mahu diketengahkan kepada pengguna, bukannya terhad kepada perubahan logo atau penampilan luaran.

Menurutnya, pemasaran perlu menyerlahkan kelebihan sesuatu produk secara jelas supaya pengguna mempunyai sebab yang kukuh untuk memilihnya berbanding produk pesaing.

Beliau berkata, landskap persaingan yang semakin dipengaruhi platform digital turut menuntut syarikat mengurus persepsi orang ramai dan reputasi jenama dengan lebih teliti.

“Perkembangan platform digital turut mengubah persekitaran persaingan, sekali gus menuntut syarikat lebih teliti dalam mengurus persepsi dan reputasi jenama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Safia berkata, perlindungan jenama perlu diberikan perhatian serius melalui tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi mengelakkan kepentingan perniagaan terdedah kepada risiko.

Beliau menggalakkan usahawan mendaftarkan cap dagangan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), selain memasukkan syarat berkaitan penggunaan jenama dalam perjanjian komersial.

Safia turut mengingatkan bahawa pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak memberikan perlindungan cap dagangan secara automatik, justeru pengusaha perlu memahami perbezaan antara kedua-dua proses itu.

Program berkenaan menghimpunkan usahawan dan pemimpin korporat bagi bertukar pandangan mengenai strategi penjenamaan serta pemasaran dalam mendepani perubahan pasaran yang semakin mencabar.

Daripada hampir 1,000 pendaftaran yang diterima, lebih 400 peserta dipilih menyertai program itu, yang turut dihadiri wakil industri dan komuniti diplomatik.

Program itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan KNKV Group sebagai rakan penganjur bersama dan rakan strategik World Marketing Summit Malaysia 2026 bersama Kotler Impact Asia serta Annemas Leadership Solution.

Pada majlis sama, KNKV mengumumkan pelantikan Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman sebagai penasihat syariah KNKV Group Sdn. Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini