SEKTOR pengangkutan Malaysia kini berada pada persimpangan penting dalam usaha mengimbangi pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Peningkatan jumlah kenderaan, kesesakan lalu lintas, kos bahan api dan keperluan mengurangkan pelepasan karbon menuntut pendekatan baharu lebih menyeluruh.
Belanjawan 2027 mengetengahkan pelbagai inisiatif yang mencerminkan keperluan untuk mengubah pendekatan pembangunan pengangkutan daripada terlalu bergantung pada pembinaan jalan raya dan penggunaan kenderaan persendirian kepada ekosistem mobiliti mengutamakan kecekapan, kemampuan, teknologi hijau dan kesejahteraan rakyat.
Antara pendekatan penting diketengahkan ialah usaha menjadikan pengangkutan awam lebih mampu milik dan mudah diakses.
Pas perjalanan My50 diteruskan untuk kira-kira 300,000 pengguna bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang. Pada masa sama, inisiatif
MyKomuter50 diperkenalkan bagi memberikan manfaat kepada kira-kira 40,000 pengguna Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter.
Melalui MyKomuter50, pengguna dijangka menikmati penjimatan purata sehingga RM160 sebulan. Kemudahan pas perjalanan percuma untuk golongan tertentu, termasuk murid sekolah, orang kurang upaya dan kanak-kanak berumur bawah enam tahun, turut diteruskan bagi membantu kira-kira 360,000 penerima.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dasar pengangkutan baik perlu mengambil kira kemampuan kewangan pengguna. Bagi keluarga menanggung perbelanjaan harian, kos perjalanan lebih rendah boleh memberikan ruang kewangan untuk keperluan lain seperti pendidikan, makanan dan kesihatan.
Lebih penting, penggunaan pengangkutan awam secara meluas berpotensi mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya.
Pengurangan ini boleh membantu mengurangkan kesesakan, pembaziran bahan api dan pelepasan gas rumah hijau, khususnya di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
Bagaimanapun, kemampuan harga mesti disertai mutu perkhidmatan yang baik.
Perancangan Prasarana untuk melabur lebih RM3.4 bilion bagi kerja pemulihan sistem rel, selain perolehan 42 set tren baharu untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter, merupakan langkah penting untuk meningkatkan kebolehpercayaan pengangkutan awam.
Pengguna tidak seharusnya hanya mempunyai pilihan pengangkutan murah, tetapi juga perkhidmatan selamat, menepati jadual dan mempunyai rangkaian laluan sesuai.
Kekerapan bas, kebersihan stesen, kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan penyepaduan antara bas dengan perkhidmatan rel perlu terus diberikan perhatian.
Dalam hal ini, rakyat perlu menyokong usaha kerajaan dengan memanfaatkan pas perjalanan dan kemudahan disediakan.
Perubahan daripada penggunaan kereta persendirian kepada pengangkutan awam, apabila praktikal, merupakan sumbangan langsung masyarakat terhadap pembentukan sistem mobiliti yang lebih lestari.
Johor Bahru merupakan antara bandar yang memerlukan pendekatan pengangkutan lebih bersepadu.
Pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura turut memberikan peluang untuk merancang semula perjalanan penduduk, pekerja dan pelawat.
Namun, manfaat sistem tersebut tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya pengguna masih menghadapi kesukaran untuk sampai ke stesen atau meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
Belanjawan 2027 mengetengahkan sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai antara penyelesaian utama bagi cabaran pengangkutan bandar Johor Bahru.
Usaha memperluas laluan bas tempatan, meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas dan KTM Komuter serta menyediakan perkhidmatan pengantara di kawasan berkepadatan tinggi juga berpotensi memperbaiki pengalaman perjalanan penduduk.
Kejayaan pendekatan ini bergantung pada penyepaduan semua mod pengangkutan. Perkhidmatan bas perlu diselaraskan dengan jadual tren, manakala laluan pejalan kaki dan kemudahan berbasikal perlu dibangunkan supaya perjalanan jarak dekat lebih selamat dan selesa.
Penduduk luar bandar, golongan berpendapatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya juga perlu menikmati manfaat pembangunan pengangkutan.
Di sesetengah kawasan, kenderaan persendirian masih menjadi keperluan kerana perkhidmatan bas dan rel terhad.
Oleh itu, penyelesaian perlu disesuaikan mengikut keadaan setempat, termasuk melalui perkhidmatan bas pengantara, pengangkutan atas permintaan dan penambahbaikan laluan pejalan kaki.
Kemudahan pengangkutan inklusif membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan, rawatan kesihatan dan perkhidmatan asas.
Kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan dan insentif dinilai berdasarkan manfaat dapat dinikmati masyarakat secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan jumlah projek dilaksanakan.
Pada masa sama, kerajaan perlu menetapkan petunjuk prestasi jelas untuk menilai keberkesanan pelaksanaan, termasuk peningkatan penggunaan pengangkutan awam, kebolehpercayaan perkhidmatan, ketersediaan pengecas kenderaan elektrik (EV), keselamatan jalan raya dan pengurangan pelepasan karbon.
Pelaporan kemajuan secara berkala akan membantu meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa peruntukan awam diterjemahkan kepada hasil nyata.
Penilaian berterusan juga membolehkan dasar ditambah baik berdasarkan keperluan sebenar pengguna dan perkembangan teknologi.
Belanjawan 2027 menawarkan peluang untuk Malaysia beralih daripada sistem pengangkutan terlalu bergantung pada kenderaan persendirian kepada ekosistem mobiliti lebih seimbang.
Namun, perubahan tersebut hanya akan berjaya apabila dasar diumumkan disokong oleh pelaksanaan berkesan dan penyertaan masyarakat.
Kini masanya rakyat dan industri bukan sahaja menyambut baik insentif Belanjawan 2027, tetapi turut menyokong serta memanfaatkannya secara bijak.
Kerajaan perlu memastikan dasar dilaksanakan secara konsisten, manakala masyarakat dan sektor swasta perlu mengambil bahagian dalam perubahan ini mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing.
Dengan kerjasama semua pihak, Belanjawan 2027 berpotensi menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan yang lebih moden, berdaya tahan dan mesra alam, sekali gus membawa Malaysia ke arah masa depan mobiliti lebih cerah. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Hafiz Zulfakar ialah Koordinator Kursus Program Pengangkutan, Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam.











