GEORGE TOWN : Pengerusi sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang, Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin hari ini mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas 15 pertuduhan iaitu menerima suapan membabitkan projek pembinaan asrama berjumlah lebih RM800,000.
Shaik Hussein, 53, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, beliau didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah berjumlah RM847,107.61 sebagai upah selepas melantik sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat berserta kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH).
Projek yang menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) itu dianggarkan bernilai RM23,268,215.35 dan terletak di sebahagian Lot 1210, Mukim 8, Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026 di sebuah bank di Bandar Baru Perda, Seberang Perai Tengah dengan jumlah wang yang didakwa diterima bagi setiap pertuduhan adalah serendah RM45.51 hingga yang paling tinggi iaitu sebanyak RM244,620.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta berserta syarat tambahan iaitu mahu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Datuk Amer Hamzah Arshad yang mengetuai pasukan pembelaan bagaimanapun berhujah mengatakan bahawa jumlah jaminan yang dicadangkan itu keterlaluan serta tidak disokong dengan alasan kukuh berdasarkan fakta bagi menunjukkan keperluan menetapkan jumlah berkenaan untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.
Menurut beliau, anak guamnya telah direman selama empat hari bermula 21 Ogos lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 26 Ogos lalu selain telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa setiap kali diperlukan untuk membantu siasatan.
Tambah Amer Hamzah, kehadiran anak guamnya ke mahkamah secara sukarela tanpa paksaan juga menunjukkan bahawa tertuduh bukan berisiko untuk melarikan diri. Beliau juga meminta supaya pihak pendakwaan mengemukakan fakta dan bukti bagi menyokong dakwaan sebaliknya.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh juga diarah untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, namun, boleh memohon kebenaran mahkamah sekiranya mempunyai keperluan untuk menggunakannya, selain menetapkan 8 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. Difahamkan, Shaik Hussein kemudian membayar jumlah jaminan berkenaan.-UTUSAN











