KUALA LUMPUR: Satu penemuan audit berkaitan penyeragaman pengiraan tenaga kerja di Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. masih menunggu pengesahan akhir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ketika helikopter kendalian syarikat itu terhempas di Long Lellang, Sarawak, pada 8 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penemuan itu masih dalam proses pengesahan akhir pada tarikh nahas, namun dikategorikan sebagai isu organisasi dan tidak berkaitan secara langsung dengan keadaan teknikal helikopter Bölkow BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF atau sistem pesawat berkenaan.
“Semua penemuan audit telah ditutup kecuali satu penemuan berkaitan penyeragaman pengiraan tenaga kerja yang masih menunggu proses pengesahan akhir oleh CAAM pada tarikh kemalangan.
“Penemuan tersebut bersifat organisasi dan tidak berkaitan secara langsung dengan keadaan teknikal pesawat 9M-LLF atau sistem pesawat yang terlibat dalam kemalangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) yang meminta kerajaan menyatakan tarikh audit keselamatan, surveillance audit dan pemeriksaan terakhir CAAM ke atas operator helikopter 80-105 9M-LLF pasca-nahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden.
Loke berkata, CAAM melaksanakan audit pengawasan terhadap organisasi penyelenggaraan syarikat itu pada 1 hingga 4 September lalu, manakala aktiviti susulan dan penutupan audit diselesaikan pada 6 September, dua hari sebelum nahas berlaku.
“Audit ini merupakan audit tahunan bagi membolehkan CAAM mempertimbangkan permohonan syarikat Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. untuk memperbaharui Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan syarikat tersebut.
“Skop Audit Pengawasan merangkumi aspek pematuhan organisasi penyelenggaraan, pengurusan tenaga kerja, kawalan penyelenggaraan, pengurusan peralatan & komponen pesawat serta sistem pengurusan keselamatan,” katanya.
Untuk rekod, nahas helikopter di Long Lellang pada 8 September lalu mengorbankan lima nyawa, termasuk juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM). – UTUSAN










