KUALA LUMPUR: Lonjakan harga bahan api di pasaran global susulan krisis geopolitik di Asia Barat antara faktor mendorong peningkatan bil elektrik bagi sebahagian pengguna domestik di Semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, gangguan keselamatan di Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan tenaga terpenting dunia memberi kesan kepada bekalan global memandangkan laluan itu menampung kira-kira 20 peratus perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Malah katanya, ia turut menjadi laluan utama bagi 40 peratus bahan api untuk kegunaan Malaysia, sekali gus mendorong kepada peningkatan bil elektrik.
“Hal ini mengakibatkan kos bahan api seperti gas dan arang batu bagi suku kedua dan ketiga 2026 melonjak jauh melangkaui harga asas yang ditetapkan ketika penentuan tarif asas di bawah kerangka Incentive-Based Regulation (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (Regulatory Period 4 – RP4), dari 2025 hingga 2027,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta menteri menyatakan faktor utama yang mendorong peningkatan mendadak caj bayaran elektrik isi rumah domestik kebelakangan ini.
Selain itu katanya, keadaan cuaca panas berpanjangan akibat keadaan suhu persekitaran semasa yang lebih panas juga antara faktor penggunaan elektrik yang tinggi.
Malah, pengurangan kapasiti penjanaan sebahagian loji jana kuasa juga antara faktor lain seperti pengurangan penjanaan daripada sumber hidro disebabkan cuaca panas berpanjangan mengakibatkan kebergantungan operasi yang lebih tinggi kepada penggunaan gas asli cecair (liquefied natural gas-LNG) yang diimport.
“Oleh itu, kos pembelian bahan api bagi penjanaan elektrik yang terpaksa ditanggung semasa krisis adalah lebih tinggi daripada kos yang diunjurkan dalam tempoh RP4,” katanya. – UTUSAN











