Kawan sekolah pun tidak percaya saya jadi penyanyi - Amir Masdi - Utusan Malaysia

Kawan sekolah pun tidak percaya saya jadi penyanyi – Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, penyanyi Amir Masdi yang kini selesa berdiri atas nama sendiri dalam industri muzik tanah air, suatu ketika dahulu merupakan seorang pemuda pendiam, kurang berkeyakinan dan tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi.

Lebih menarik, perjalanan seni yang kini memasuki tahun ke-10 itu bukan bermula daripada impian besar untuk bergelar anak seni, sebaliknya daripada hasrat sederhana untuk menggembirakan hati ibu.

Mengimbau kembali perjalanan kerjayanya sejak menyertai Akademi Fantasia (AF) pada 2016, Amir  mengakui, program realiti berkenaan menjadi titik permulaan yang mengubah arah kehidupannya, sekali gus membawanya mengenali potensi diri yang tidak pernah disedari sebelum itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, keputusan menyertai AF juga bukan sesuatu yang dibuat atas kemahuan sendiri sepenuhnya kerana dia pada awalnya tidak mempunyai keyakinan untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, sudah 10 tahun saya berada dalam industri ini sejak keluar daripada AF pada 2016. Saya menganggap AF sebagai titik permulaan kerjaya saya kerana di situlah lahirnya Ameer Masdi sebagai seorang penyanyi.

“Kalau bukan kerana AF, saya mungkin tidak akan menjadi penyanyi. Sebenarnya, ibu meminta saya menghadiri uji bakat sebanyak tiga kali. Pada mulanya, saya tidak mahu pergi kerana tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak pernah membuat persembahan di hadapan orang ramai.

“Kali kedua ibu meminta, saya masih menolak kerana tidak berani. Namun, apabila ibu meminta buat kali ketiga, saya terfikir mahu menggembirakan hati ibu dan memenuhi permintaannya,”katanya.

Selain itu, jika melihat Amir hari ini, sukar untuk membayangkan bahawa dia pernah menjadi individu yang lebih selesa menyendiri dan mengelak daripada perhatian orang ramai.

Hakikatnya, perubahan itu cukup besar sehingga rakan-rakan sekolahnya sendiri sukar mempercayai bahawa individu yang dahulu jarang bercakap kini mampu berdiri di hadapan khalayak sebagai seorang penyanyi.

Amir berkata, ketika di bangku sekolah, dia bukan sahaja jarang bercakap di hadapan orang ramai, malah tidak pernah mengambil bahagian dalam persembahan sempena sambutan Hari Guru.

Malah, jika diberikan tugasan pembentangan, dia lebih rela meminta rakan tampil ke hadapan bagi menggantikannya.

“Rakan-rakan sekolah saya antara orang yang paling tidak percaya dengan perubahan ini. Mereka selalu berkata, ‘Bukankah ini budak yang dahulu tidak bercakap di sekolah?’

“Dahulu saya memang sangat pendiam dan lebih suka menyendiri ketika di sekolah. Semasa sambutan Hari Guru pun saya tidak pernah membuat persembahan. Saya juga jarang bercakap di hadapan orang ramai. Kalau ada pembentangan, saya akan meminta rakan untuk tampil ke hadapan menggantikan saya.

“Malah, ramai rakan saya sendiri tidak tahu bahawa saya boleh menyanyi. Apa yang menarik, dahulu saya jarang bercakap dengan orang, tidak suka keluar rumah, tidak pernah bercuti atau menyertai perjalanan bersama rakan-rakan. Namun, sekarang saya melakukan perkara yang dahulu saya cuba elakkan,” katanya.

Populariti bukan tujuan utama

Selain itu, bercakap soal meraih populariti, baginya,ia tidak seharusnya menjadi matlamat tunggal seseorang anak seni. Lebih penting, karya yang dihasilkan perlu membawa nilai positif dan persembahan yang disampaikan mampu memberikan kegembiraan kepada pendengar.

“Bagi saya, perkara yang paling banyak mengubah diri saya ialah pemahaman tentang tujuan menjadi seorang artis. Apakah sebenarnya tujuan seseorang itu menjadi artis? Adakah untuk memperjuangkan sesuatu, mendapatkan populariti atau sekadar mahu menghasilkan banyak lagu?

“Bagi saya, peranan seorang artis adalah untuk mempengaruhi orang ramai supaya melakukan perkara yang baik. Melalui lagu-lagu yang saya hasilkan, saya juga mahu peminat berasa gembira dengan persembahan yang saya sampaikan.

“Saya menganggap kerjaya sebagai artis sebagai satu pekerjaan. Jadi, setiap tanggungjawab yang diberikan perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan dalam industri muzik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir bakal mengadakan AM Showcase di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Disember depan.

Menurut Amir, idea untuk mengadakan showcase itu sudah lama tercetus, malah menjadi antara sebab utama dia menghasilkan album sejak album pertamanya.

Bagaimanapun, Amir mengakui penganjuran konsert berskala besar memerlukan persiapan rapi dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru hanya kerana mempunyai dana serta koleksi lagu sendiri.

Malah, dia sendiri merasakan masih belum bersedia untuk beraksi di pentas konsert berskala besar buat masa ini.

“Jadi, showcase adalah salah satu batu loncatan untuk proses mengadakan konsert.

“Untuk menganjurkan konsert, insya-Allah pada masa depan. Doakan. Tetapi buat masa ini, showcase adalah perkara terbaik yang saya boleh laksanakan untuk peminat.

“Saya mahu mengumpulkan semua orang dalam satu malam untuk sebuah showcase dan berharap ia akan menjadi sesuatu yang istimewa serta epik buat orang ramai,” katanya.

AM Showcase bakal menampilkan sekitar 26 lagu, termasuk dua lagu saduran (cover).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini