PEKAN: Warga emas yang juga pemilik nama unik, Pahang Awang Mohamad, 74, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gembira apabila menerima MyKad Generasi Baharu setelah membuat permohonan pertukaran awal bulan ini.
Lebih bermakna, kad pengenalan berteknologi tinggi itu disampaikan sendiri Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias dalam satu penyerahan khas di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pekan di sini.
Pahang berkata, dia hadir ke ke Pejabat JPN Pekan pada awal bulan ini bagi membuat penukaran kad pengenalan lama selepas dimaklumkan tentang kelebihan struktur keselamatan pada kad baharu.
“Penyerahan MyKad baharu yang disempurnakan sendiri oleh pegawai tertinggi JPN menjadi satu kenangan manis dan pengalaman yang cukup berharga buat diri saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pahang turut memuji kecekapan dan kualiti perkhidmatan mesra pelanggan yang ditunjukkan warga kerja JPN Pekan sepanjang proses permohonan hinggalah kad diserahkan.
Sementara itu, Pengarah JPN Pahang, Mohammad Abdullah berkata, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan MyKad kepada seorang warga emas berusia 93 tahun dan seorang penerima berusia 12 tahun yang dilahirkan pada 1 Oktober, iaitu tarikh sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN).
Sambutan HPN Ke-78 turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendaftaran dan pemilikan dokumen pengenalan diri sebagai bukti identiti rasmi seseorang warganegara. – UTUSAN











