SHAH ALAM: Sebarang kenyataan rasmi berhubung sesuatu kejadian yang dikeluarkan oleh Polis Selangor adalah berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan masyarakat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pengesahan fakta penting bagi mengelakkan maklumat tidak tepat, pemutarbelitan fakta serta penyebaran berita palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Ketepatan maklumat perlu diutamakan bagi memastikan orang ramai memperoleh penjelasan berdasarkan fakta yang sahih bukannya bergantung semata-mata kepada maklumat yang tersebar di media sosial,” katanya dalam sesi kunjungan hormat Persatuan Wartawan Jenayah (CIJA), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan serta barisan kepimpinan CIJA, Safeek Affendy Razali, Maszureen Hadzman, Farik Zokkepli dan Nuraina Hanis Abd. Halim.
Shazeli berkata, kelewatan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas sesuatu kejadian tular di media sosial bukan disengajakan sebaliknya bagi memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat sebelum disampaikan kepada masyarakat.
“Pihak polis perlu memastikan fakta sesuatu kejadian disahkan terlebih dahulu selain menentukan sama ada insiden berkenaan benar-benar berada dalam bidang kuasa Polis Selangor sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.
“Setiap kenyataan rasmi perlu dibuat secara bertanggungjawab dan pihak polis perlu bersedia untuk dipertanggungjawabkan terhadap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata, Polis Selangor mahu terus menjadi sumber rujukan masyarakat bagi mendapatkan maklumat rasmi yang tepat dan boleh dipercayai berhubung sesuatu kejadian.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama media dan masyarakat terhadap keperluan proses pengesahan sebelum sesuatu kenyataan rasmi dikeluarkan. –UTUSAN











