PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui masih menyimpan impian yang belum tercapai dengan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028) menjadi fokus utama beregu lelaki No. 1 negara itu yang kembali tampil berganding pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, semalam.
Pasangan No. 4 dunia itu membenam juara bertahan yang juga gandingan No. 8 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-19, 14-21, 21-11 dalam masa 51 minit pada pusingan awal di SJF Bank Arena.
Wooi Yik yang meraih pingat gangsa bersama Aaron pada Sukan Olimpik Paris berkata, ia sesuatu yang istimewa dapat menyambung kembali kerjasama mereka selepas 10 tahun bergandingan.
“Jauh di sudut hati kami berdua masih mempunyai impian yang belum dapat kami capai.
“Saya rasa dengan kerjasama ini, ada perjuangan yang belum selesai iaitu LA 2028, fokus saya jelas ke LA, jadi, harap kami mampu pamer persembahan lebih matang dalam permainan kami,” katanya selepas perlawanan.
Aaron yang turut sependapat dengan Wooi Yik berkata, mereka kini di landasan betul untuk melakukan yang terbaik sebagai persediaan ke Olimpik pada tahun depan.
Mengulas tempoh mereka dipecah ganding, Aaron berkata, peluang bermain dengan berbeza pasangan, mungkin kadang kala memberi keselesaan kepada Wooi Yik.
“Mungkin dengan gandingan asal, tekanan itu sering mengiringi kami. Sebab itu, apabila bermain dengan pasangan berbeza, kita akan dapat berasakan kelainan,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang aksi berdepan Hoki-Kobayashi, Aaron menjelaskan, mereka lebih fokus apabila permainan berlanjutan dalam set ketiga dan peluang tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin serta mengelak daripada kerap melakukan kesilapan sendiri.
Gandingan senior itu bakal berdepan sama ada satu lagi pasangan negara, Aaron Tai-Yap Roy King yang baru sahaja merangkul gelaran di Terbuka Arctic, minggu lalu atau beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min di peringkat 16 terbaik, hari ini. – UTUSAN











