PETALING JAYA: Kejadian puting beliung atau belalai darat di Damansara, Selangor semalam sukar dikesan melalui radar dan satelit cuaca berikutan saiznya yang kecil serta tempoh kejadian yang singkat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena tersebut berpunca daripada kehadiran awan ribut kumulonimbus yang aktif pada petang semalam.
Menurutnya, puting beliung merupakan turus putaran udara kencang yang terbentuk akibat kehadiran angin ricih dan arus angin menaik semasa proses pembentukan awan ribut.
“Ini menyebabkan pembentukannya sukar untuk dikesan oleh radar dan satelit cuaca, namun
MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan daerah di Selangor pada 5.30 petang 13 Okt,” katanya.
Semalam, pengguna media sosial berkongsi beberapa video memaparkan kejadian puting beliung ketika kenderaan berhenti di sebuah plaza tol.
Tiupan angin kencang dalam kejadian itu turut menyebabkan sebuah kenderaan kelihatan terangkat.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, puting beliung yang berlaku di Malaysia lazimnya berskala kecil, iaitu berukuran kurang daripada 10 meter dan berlaku dalam tempoh yang amat singkat.
Beliau berkata, kejadian puting beliung di darat atau belalai darat serta di laut atau belalai laut banyak berlaku ketika fasa peralihan monsun, iaitu dari Mac hingga Mei serta September hingga Oktober.
Tambahnya, fenomena tersebut berlaku akibat keadaan atmosfera yang tidak stabil dan lembap, selain kehadiran angin yang bertiup lemah dari pelbagai arah. –UTUSAN











