RIYADH: Ucapan seorang menteri Arab Saudi terganggu apabila amaran peluru berpandu berbunyi ketika beliau berucap pada sebuah forum ekonomi di Riyadh, di tengah-tengah peningkatan serangan kumpulan Houthi ke atas kerajaan itu.
Kejadian berlaku di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh apabila notifikasi amaran berbunyi serentak pada telefon bimbit menteri itu dan telefon milik para hadirin.
Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial, Ahmed Sulaiman Al Rajhi mengakui secara ringkas mengenai amaran berkenaan sebelum meneruskan ucapannya dengan tenang.
“Kita berada di bawah perlindungan Tuhan sekalian alam. Insya-Allah, semoga Allah memulangkan tipu daya mereka kepada mereka sendiri,” katanya kepada hadirin.
Gangguan itu berlaku selepas dua serangan Houthi berturut-turut menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada hujung minggu lalu, mengorbankan 14 orang, termasuk beberapa warga asing.
Penduduk melaporkan terdengar beberapa letupan kuat di ibu negara Arab Saudi itu pada malam Isnin, menurut Al Jazeera.
Tentera Arab Saudi berkata pada Rabu, sistem pertahanan udaranya memintas sekurang-kurangnya satu peluru berpandu balistik Houthi yang menyasarkan Riyadh, selain dua lagi yang dilancarkan ke arah bandar Khamis Mushait di barat daya negara itu.
Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada Sabtu lalu. Dalam temu bual eksklusif bersama RT, jurucakap kumpulan itu, Mohammed al-Bukhaiti menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan balas terhadap pengeboman infrastruktur awam di Yemen oleh Arab Saudi selama bertahun-tahun.
Beliau memberi amaran Houthi akan terus menyasarkan kemudahan ketenteraan dan infrastruktur penting Arab Saudi sehingga Riyadh menamatkan penglibatannya dalam konflik Yemen, menarik balik sekatan serta bersetuju dengan perdamaian menyeluruh dan berkekalan.
Arab Saudi campur tangan dalam perang saudara Yemen pada 2015 dengan mengetuai gabungan ketenteraan bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa menentang Houthi.
Pertempuran berskala besar sebahagian besarnya reda selepas gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022, namun kembali memuncak pada Julai selepas pasukan Yemen yang disokong Arab Saudi menyerang Lapangan Terbang Sanaa yang dikuasai Houthi.
Bulan lalu, Houthi merampas kawasan pesisir Laut Merah Yemen yang luas serta wilayah di sekitar Selat Bab el-Mandeb yang strategik, termasuk pelabuhan Mocha.
Pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi kemudian melancarkan serangan balas dan mendakwa berjaya merampas semula beberapa kedudukan penting berhampiran laluan perkapalan utama yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Riyadh meningkatkan sokongan udaranya terhadap operasi itu, sekali gus memperhebat serangan ke atas wilayah yang dikuasai Houthi sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut Houthi, pengeboman Arab Saudi mengorbankan hampir 400 orang sejak awal September, dengan ramai daripada mereka merupakan orang awam.-AFP











