Laporan harian diterima sahkan rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat

Laporan harian diterima sahkan rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi, khususnya di Riyadh dan Jeddah dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan ketegangan yang masih berlarutan di negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berdasarkan laporan harian yang diterima daripada Kedutaan Malaysia di Riyadh serta Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengesahkan bahawa keadaan rakyat Malaysia di kedua-dua lokasi berkenaan adalah baik.

Menurut beliau, terdapat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Riyadh, selain pelajar yang turut berada di bandar raya itu, namun mereka tidak terlibat dalam insiden letupan di lapangan terbang yang mengorbankan 13 nyawa dan mencederakan ratusan orang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Laporan setiap hari saya terima daripada kedutaan kita di Riyadh dan juga di Jeddah, konsul kita di Jeddah, menyatakan bahawa keadaan rakyat Malaysia semua okay.

“Pihak kedutaan memang sentiasa berhubung dan rakyat Malaysia (juga) sentiasa berhubung kalau ada apa-apa keperluan untuk bantuan konsular beri daripada pihak kedutaan,” katanya.

Mohamad berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) melibatkan Bangunan Kementerian Luar Negeri, Fasa 1 & 2, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), National Water Research Institute of Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di Wisma Putra di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di Arab Saudi agar mengelak berada di kawasan awam dan lokasi yang berpotensi menjadi sasaran oleh pihak berkepentingan.

“Seboleh mungkin mereka duduk di rumah dan kita menggunakan e-Konsular untuk mereka dapat berhubung,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, terdapat beberapa rakyat Malaysia yang terkandas sementara di Jeddah berikutan pembatalan penerbangan pulang, susulan gangguan operasi syarikat penerbangan Malaysia dan antarabangsa.

Jelasnya, Malaysia Airlines (MAS) telah menawarkan bantuan kepada penumpang yang terjejas dengan menyediakan penempatan di lokasi ditentukan syarikat penerbangan itu, selain mengatur penjadualan semula penerbangan.

Sehubungan itu, beliau meminta keluarga di Malaysia supaya tidak terlalu bimbang mengenai keadaan anak-anak atau ahli keluarga mereka yang berada di Riyadh dan kawasan lain di Arab Saudi.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan keselamatan di negara itu, Mohamad berkata, keadaan masih belum reda susulan satu lagi serangan yang dilaporkan berlaku di kompleks syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di bahagian timur laut negara berkenaan.

“Nampaknya keadaan di sana tidak reda lagi, jadi Kementerian Luar memberikan nasihat perjalanan supaya rakyat Malaysia mana-mana yang tidak ada keperluan mendesak supaya mereka jadualkan semula untuk mereka membuat perjalanan ke negara Arab Saudi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini