PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai penyebaran video manipulasi digital yang menyamar sebagai pegawai kanan kedua-dua institusi itu bagi mempromosikan skim pelaburan persendirian dan produk kewangan.
Dalam satu kenyataan, BNM menggesa orang ramai yang menemui kandungan mencurigakan supaya melaporkannya kepada platform media sosial berkaitan atau memaklumkan terus kepada BNM dan SC bagi membantu membendung penyebarannya.
“Kami turut menyarankan orang ramai melayari laman web rasminya di bnm.gov.my/verify untuk melihat contoh kandungan manipulasi digital dan penyamaran yang menggunakan nama bank pusat itu.
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan menyemak Senarai Amaran Pengguna Kewangan BNM dan Senarai Amaran Pelabur SC bagi mengenal pasti entiti atau skim yang telah ditandai oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BNM, orang ramai juga perlu mengesahkan sama ada sesebuah entiti mempunyai kebenaran untuk menawarkan produk kewangan atau pelaburan melalui BNMLINK atau portal Investment Checker milik SC.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengesahkan kesahihan entiti sebelum melabur bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.
BNM turut menggalakkan orang ramai mengikuti halaman Facebook Amaran Scam untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan yang semakin berkembang serta panduan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa aktiviti penipuan.
“Amaran itu menekankan kepentingan orang ramai untuk menyemak kesahihan kandungan dan mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan, khususnya apabila tawaran dikaitkan dengan individu berpengaruh atau pegawai kanan institusi kewangan,” katanya. – UTUSAN











