PETALING JAYA: Keluarga kepada 54 warganegara Malaysia yang masih hilang dalam bencana banjir di Nepal mendesak institusi kewangan agar memansuhkan sepenuhnya kadar faedah dan caj tambahan sepanjang tempoh moratorium bayaran pinjaman.
Penyelaras dan Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Dr. Manivannan Rethinam berkata, walaupun sesetengah bank bersedia memberikan penangguhan dan mengetepikan penalti, tindakan masih mengenakan faedah terakru tetap memberi tekanan kewangan yang amat berat kepada waris.
Menurut beliau, pendekatan penangguhan bayaran yang masih membenarkan faedah berjalan hanya memberikan kelegaan sementara, tetapi bakal menyebabkan jumlah hutang membengkak sebaik sahaja tempoh moratorium berakhir.
“Bantuan atas dasar kemanusiaan seharusnya benar-benar meringankan beban, bukannya sekadar menangguhkan pembayaran sedangkan jumlah hutang terus meningkat di belakang tabir.
“Keluarga-keluarga ini tidak memilih untuk berada dalam keadaan ini dan mereka tidak sepatutnya terpaksa menanggung beban kewangan tambahan akibat tragedi yang berada di luar kawalan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Manivannan berkata, MASFIH merayu kepada semua bank agar mencontohi langkah prihatin yang diambil oleh HSBC dan Public Bank yang telah mengesahkan secara bertulis pemberian moratorium enam bulan tanpa sebarang faedah, penalti atau caj tambahan.
Beliau berkata, di sebalik setiap akaun pinjaman, kad kredit atau ansuran bulanan yang terhenti, terdapat waris yang sedang melalui hari-hari penuh ketidakpastian dan penderitaan sementara menantikan kepulangan insan tersayang.
“Kami merayu kepada institusi kewangan agar melihat melangkaui pematuhan prosedur semata-mata dan memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan. Mereka tidak memerlukan bantuan yang sekadar wujud pada nama atau pengumuman rasmi sahaja.
“Apa yang diperlukan ketika ini ialah bantuan yang benar-benar memberikan kesan nyata, adil dan dilaksanakan dengan penuh belas ihsan supaya tiada keluarga terpaksa menanggung beban yang sepatutnya boleh elakkan,” tegas beliau.
Tambahnya, MASFIH turut berharap hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini dapat diterjemahkan kepada keputusan rasmi daripada seluruh sektor perbankan bagi membolehkan kesemua 54 keluarga terjejas mendapat pelepasan kewangan yang menyeluruh. –UTUSAN











