KUALA LUMPUR: Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang memerlukan bantuan penyelenggaraan dan naik taraf perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, permohonan perlu dibuat melalui saluran ditetapkan dengan kerjasama pemegang taruh di peringkat negeri.
Beliau berkata, kelulusan bantuan itu tertakluk kepada syarat, skop kerja, keutamaan dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Peruntukan ini tidak disalurkan secara automatik kepada setiap institusi. Sebaliknya, institusi yang berhasrat mendapatkan bantuan ini perlulah mengemukakan permohonan kepada Jakim melalui saluran yang disediakan dengan kerjasama pemegang taruh di peringkat negeri, tertakluk kepada syarat, skop kerja, keutamaan dan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini penyaluran bantuan penyelenggaraan dan naik taraf Jakim kepada Sekolah Agama Rakyat bagi tahun 2026.
Menurutnya, kerajaan melalui Jakim menyediakan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan bagi 2026 untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf institusi pendidikan Islam (IPI) berdaftar di seluruh negara, termasuk SAR.
“Sehingga 30 April 2026, Jakim telah mengagihkan RM22,501,000.00 kepada 309 buah IPI seluruh negara, termasuk Sekolah Agama Rakyat.
“Bermula Mei 2026, pelaksanaan peruntukan khas ini telah diselaraskan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan urusan agihan masih dan terus berjalan sehingga ke hari ini secara berperingkat.
“Dalam hal ini, Jakim dan ICU JPM melaksanakan proses semakan, verifikasi dan kelulusan projek mengikut tempoh pelaksanaan masing-masing bagi memastikan setiap peruntukan diurus secara teratur, tersusun, telus dan bersasar, khususnya bagi kerja-kerja yang melibatkan aspek keselamatan, keselesaan dan keperluan asas pembelajaran,” katanya. –UTUSAN








