KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan sehingga Ogos 2026,melibatkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM158.16 bilion.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu hasil komitmen kementeriannya menerusi penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) sejak 2023.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 147 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, melibatkan 29,900 unit rumah dengan GDV sebanyak RM40.92 bilion.
“Selain itu, sebanyak 1,542 projek sakit telah berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), melibatkan 163,621 unit rumah dengan GDV sebanyak RM115.74 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi projek berstatus terbengkalai pula, katanya lagi, sebanyak 37 projek berjaya dipulihkan, melibatkan 6,122 unit rumah dengan GDV berjumlah RM1.504 bilion.
Jelas Kor Ming, pemulihan projek berkenaan dilaksanakan sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau penyelesaian yang memberi manfaat kepada pembeli rumah.
“KPKT amat prihatin bahawa pengurusan projek sakit dan terbengkalai ini tidak boleh dipandang enteng.
“Justeru, KPKT akan terus memantau perkembangan perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan bidang kuasa kementerian, serta tertakluk kepada proses dan keputusan mahkamah dengan mengambil kira kepentingan pembeli sedia ada,” katanya. –UTUSAN











