Penduduk Bali terpaksa beratur hampir 24 jam isi minyak

Penduduk Bali terpaksa beratur hampir 24 jam isi minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENPASAR: Penduduk di Bali terpaksa beratur hampir 24 jam di beberapa stesen minyak susulan lonjakan permintaan dan kelewatan pengagihan bahan api, menyebabkan barisan kenderaan beratur panjang sehingga mengganggu aliran trafik di pulau pelancongan itu.

Bagaimanapun, Gabenor Bali, I Wayan Koster, berkata bekalan bahan api di seluruh pulau itu masih mencukupi walaupun beberapa stesen minyak berdepan kekurangan bekalan akibat isu itu.

“Jumlah penduduk yang mengunjungi stesen minyak melebihi paras biasa. Kadar penghantaran bahan api ke stesen minyak tidak dapat mengimbangi permintaan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga petang semalam, barisan panjang motosikal dan kereta masih kelihatan di beberapa stesen minyak di seluruh Bali, dengan tempoh menunggu di sesetengah lokasi dilaporkan hampir 24 jam.

Koster berkata, pengagihan bahan api dari depoh sukar menampung peningkatan permintaan secara mendadak, namun menegaskan bekalan sedia ada masih mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.

Beliau turut berpandangan pembelian panik mungkin memburukkan keadaan apabila penduduk berpusu-pusu mengisi tangki kenderaan masing-masing kerana bimbang bekalan bahan api berkurangan.

“Orang ramai mungkin panik kerana menyangka minyak atau bahan api sudah tiada. Mereka perlu bersabar kerana depoh mempunyai bekalan bahan api yang lebih daripada mencukupi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Koster mengakui gangguan pengagihan bahan api sebelum ini menyebabkan sesetengah pemandu tidak dapat mengisi minyak seperti biasa, sekali gus berkemungkinan mendorong lebih ramai penduduk mengunjungi stesen minyak pada masa yang sama dan memanjangkan barisan menunggu.

Beliau menjangkakan keadaan kembali pulih menjelang Rabu dan menggesa penduduk supaya bertenang sementara usaha pengagihan diteruskan.

Koster turut meminta syarikat tenaga milik kerajaan, Pertamina, memastikan peruntukan bahan api untuk Bali bersesuaian dengan permintaan tempatan serta penghantaran ke stesen minyak berjalan lancar.

Menurutnya, Pertamina pada awalnya memperuntukkan 2.2 juta liter bahan api sehari untuk wilayah itu, namun jumlah peruntukan seterusnya perlu mengambil kira keperluan sebenar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini